Webinar Sains & Halal 2023: Konsep Halalan Toyyiban dalam Pemakanan

Pada 21 Julai 2023 telah diadakan Webinar Sains dan Halal 2023 secara atas talian dan Youtube sebagai media siaran langsung. Fokus utama webinar ini adalah untuk menjelaskan konsep halalan toyyiban terutamanya dalam aspek pemakanan. Konsep halalan toyyiban tidak begitu difahami oleh kebanyakan masyarakat, dimana mereka hanya mengklasifikasikan makanan halal adalah makanan tanpa daging babi dan alkohol. Pada asasnya, konsep halalan toyyiban merangkumi proses bermula dengan bahan mentah sehingga produk akhir sampai kepada pengguna. Webinar ini telah berjaya menarik minat lebih daripada satu ribu peserta.

Panel jemputan pertama adalah Ts. Siti Fatahiyah Mahamood yang merupakan pensyarah kanan dan Ketua Unit Kualiti dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam. Beliau telah mengupas topik berkaitan dengan konsep asas halalan toyyiban dalam Islam. Panel juga menyentuh isu-isu sensasi semasa berkaitan dengan konsep halal seperti ‘mukbang’, pensijilan halal palsu serta tempat makan yang tular di media sosial.

Panel jemputan kedua iaitu Encik Muhammad Shafiq Mustafa, merupakan alumni Diploma Sains UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah yang kini bekerja sebagai Eksekutif Pengeluaran di Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. Beliau memfokuskan topik perbincangan dari sudut proses pengeluaran dalam industri pemakanan secara am. Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai proses pensijilan halal yang mana melibatkan banyak peringkat dan proses penilaian termasuk ujian makmal terutamanya dalam bidang kimia dan biologi. Selain itu, Encik Muhammad Shafiq Mustafa juga menyentuh isu kontroversi berkaitan kod E, daging kultur, dan bahan aditif dalam makanan.

Secara amnya di Malaysia, permohonan sijil halal dari JAKIM bukanlah satu kewajipan tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial pengeluar untuk menambahkan keyakinan terhadap produk keluaran mereka. Justeru itu, webinar ini diharapkan dapat membuka minda masyarakat supaya lebih cakna dengan kandungan sesuatu makanan atau produk. Webinar ini juga mendapat pelbagai komen positif dari para peserta yang mengharapkan agar webinar ini diteruskan pada masa akan datang meliputi aspek-aspek halal yang lain.