KERONGSANG TOK – WARISAN MELAYU LAMA, INSPIRASI TERKINI

Kerongsang Tok  ialah barang kemas Melayu lama yang diperbuat daripada logam emas atau logam bersalut emas semakin diminati oleh masyarakat Melayu moden. Kerongsang Tok terdiri daripada 3 bentuk baju butang atau lebih dikenali sebagai kerongsang yang dipadankan dengan baju kebaya labuh atau kebaya pendek yang telah terkenal di kalangan orang Melayu, Portugis, Nyonya Peranakan dan juga Ceti di Melaka sejak berabad-abad. lamanya. Beberapa kerongsang digunakan untuk melekatkan pakaian mereka supaya ia tidak terdedah serta menjadi alat perhiasan untuk menggantikan rantai. Kerongsang ini dipakai dalam bentuk set tiga biji atau tiga bentuk yang serupa bentuk atau berbeza tetapi mempunyai motif yang seragam iaitu dua biji bulat yang sama besar dan satu lagi kerongsang ibu berbentuk hati atau ‘paisley’ disematkan di bahagian atas sekali. Terdapat beberapa nama unik yang digunakan untuk  Kerongsang Tok yang  juga dikenali sebagai serong kerongsang atau kerongsang rantai (jika disambungkan dengan rantai pada setiap kerongsang untuk mengelakkan terjatuh). Kebanyakan Kerongsang Tok orang Melayu, yang disimpan sebagai koleksi peribadi, merupakan rekaan motif daun dan bunga ataupun bulan sabit berbintang tengah sahaja. Rekaan ini merupakan  identiti seni pertukangan emas Melayu di pantai timur dan di seluruh Semenanjung amnya. Manakala bagi kaum Ceti pula, mereka lebih meminati kerongsang yang bertatah batu permata yang berwarna-warni.

Barang perhiasan yang sering dikaitkan dengan wanita lazimnya diperbuat daripada emas atau perak. Selain itu, terdapat juga barang perhiasan yang diperbuat daripada tembaga. Terdapat pelbagai reka bentuk dan corak yang menghiasi barang perhiasan tersebut. Pada zaman dahulu tukang emas atau perak biasanya memilih corak yang berunsur flora dan fauna (motif tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan dan binatang). Masyarakat pada zaman dahulu sangat akrab dengan alam semula jadi maka dengan itu, kebanyakan bentuk dan corak yang terdapat pada barang perhiasan wanita memiliki ciri-ciri alam.

Habib Jewels mengambil peranan sebagai sebuah syarikat barang kemas gergasi di Malaysia yang mengembalikan semula rekaan Kerongsang Tok ini demi mempertahankan warisan Melayu lama daripada hilang ditelan masa. Produk ini dipasarkan sekitar tahun 2019 dengan mengekalkan konsep rekaan asal Kerongsang Tok yang diberi nafas baru. Penggunaan batu berlian diaplikasikan di dalam rekaan tersebut.

Inspirasi terkini untuk reka bentuk Kerongsang Tok telah diilhamkan untuk memberi nafas baru kepada reka bentuk warisan Melayu lama ini. Reka bentuk terkini diilhamkan daripada pelbagai sumber bahan kajian seperti bunga, motif ukiran kayu dan awan larat. Sememangnya, semua kerongsang antik tulen dianggap jarang dan sukar ditemui pada masa kini. Cadangan rekaan terkini, Kerongsang Tok yang diinspirasikan masih mengekalkan jumlah 3 bentuk kerongsang dan  konsep rekaan masih berkonsepkan motif bunga-bungaan. Cadangan rekaan terkini inspirasi rekaan  Kerongsang Tok masih mengekalkan ciri-ciri asal kerongsang iaitu rekaan bunga-bungaan  tetapi telah dikembangkan dan diberi nafas baru dengan pemilihan motif yang lebih meluas seperti motif awan larat, motif kerawang dan motif ukiran kayu. Inspirasi ini bersesuaikan dengan konsep asal rekaan Kerongsang Tok yang memang menarik dan unik. Perkembangan teknologi di dalam rekaan barang kemas berkomputer (2D/3D jewellery software) membolehkan pelbagai rekaan dihasilkan tanpa batasan. Warisan Melayu selayaknya dipertahankan dan dipelihara demi megekalkan warisan Melayu lama yang semakin pupus ditelan zaman. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan agar warisan Melayu lama masih relevan seiring dengan perjalanan masa. Perkembangan inspirasi tekini rekabentuk  kerongsang tok mampu menegakkan semula kegemilangan barang kemas warisan Melayu dari hilang ditelan arus kemodenan dan relevan di pasaran. Dengan mengabungkan serta mengekalkan unsur tradisional ini dalam rekaan kontemporari, sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepada generasi akan datang supaya dapat menghayati maksud yang tersirat pada setiap rekacorak yang digunakan. Sebagai contoh, rekacorak yang bermotifkan floral adalah memberi maksud supaya alam semulajadi ini perlu dihayati dan dihargai dengan sepenuhnya. Justeru itu, pelbagai langkah perlu diambil untuk mengekalkan dan meneruskan kesinambungan warisan sejarah ini agar tidak luput ditelan zaman dan arus pemodenan.