Webinar: Pengurusan Strategik Bandar

Siri Webinar ‘Strategic Urban Management’ telah berjaya dianjurkan oleh pelajar program Ijazah Sarjana Sains Pembangunan dan Pengurusan Bandar (AP771), Pusat Pengajian Siswazah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur pada 28 Disember 2020.

Webinar ini telah diadakan secara atas talian menggunakan platform Google Meet yang telah dihadiri lebih 15 orang pelajar pasca siswazah dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah. Moderator bagi sesi webinar ini ialah pelajar UDM711, Gerraint Gillan Anak Ahi dan syarahan telah disampaikan oleh pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, Dr. Mohd Azren Hassan.

Sesi webinar yang berlangsung hampir 1 jam ini bermula dari jam 5.30 petang sehingga 6.30 petang telah memanfaatkan pelajar-pelajar yang telah menyertai webinar tersebut. Pelajar-pelajar telah didedahkan dengan kajian kes di Guangzhou, China mengenai aspek Pengurusan Strategik Bandar. Kajian kes ini telah mengenal pasti 5 elemen penting di dalam Pengurusan Strategik Bandar iaitu, ekonomi, sosial, budaya, alam persekitaran dan pengurusan tadbir bandar. Selain dari Pengurusan Strategik Bandar, webinar ini juga memberi contoh teknik penggunaan analisis faedah kos (cost benefit analysis) di dalam menentukan perancangan melaksanakan sebuah projek. Sesi webinar telah diakhiri dengan sesi soal jawab dan pertanyaan daripada pelajar mengenai tips dalam Pengurusan Strategik Bandar.

Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur mengucapkan ribuan penghargaan kepada Dr. Mohd Azren Hassan di atas perkongsian ilmu dan kepakaran beliau yang akan memanfaatkan pelajar-pelajar apabila memasuki alam pekerjaan nanti. Perkongsian ilmu ini telah membuka minda para pelajar mengenai amalan terbaik dalam Pengurusan Strategik Bandar.