Penutup tirai program “Dare To Be Fit 2.0” (D2BF)

Program Dare To Be Fit 2.0 merupakan kesinambungan program Dare To Fit (2019) anjuran bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM cawangan Pulau Pinang kampus Bertam . Program Dare To Be Fit 2.0 yang berlangsung selama tiga bulan setengah bermula pada 9 September 2020 dan berakhir pada 16 Disember 2020.

Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk mengalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan tahap kecergasan, mencapai berat badan yang ideal disamping mengeratkan ikatan silaturahim dan meningkatkan produktiviti kerja dalam kalangan kakitangan UiTM cawangan Pulau Pinang.

Aktiviti-aktiviti senaman seperti berjoging, Tabata dan Zumba yang dilaksanakan tiga kali seminggu bermula seawal 7.30 pagi hingga 9.00 pagi. Selain itu, aktiviti khas seperti kayuhan basikal MTB sejauh 25km. Menariknya aktiviti kayuhan ini adalah peserta dapat menikmati suasana sawah padi dan program turut  disertai oleh Penolong Rektor UiTM Kampus Bertam, Dr Siti Nur Fadzilah Binti Muhsain.

Aktiviti lain adalah seperti trekking di Cherok Tok Kun, Hutan Lipur Bukit Mertajam. Suasana hutan yang nyaman dan menghijau dikelilingi dengan alam semula jadi merupakan terapi jiwa jauh daripada tekanan dan kesibukan kerja-kerja harian. Program trekking ini mengambil masa separuh hari dan turut disertai hampir kesemua peserta program Dare To Be Fit 2.0.

Amalan gaya hidup sihat bukan sahaja terhad pada aktiviti fizikal malah turut terdapat program masakan makanan sihat. Peserta program turut tidak melepaskan peluang  menunjukkan bakat memasak masing-masing. Program ini diadakan di dewan terbuka dan juri-juri pertandingan terdiri daripada wakil fakulti di UiTM kampus Bertam.

Penutup tirai program “Dare To Be Fit 2.0” (D2BF) yang disertai oleh Rektor UiTM cawangan Pulau Pinang, Profesor Ts. Dr. Salmiah Kasolang dan juga  Timbalan Pendaftar Kanan, En. Mohd Yazed Abd Razak. Kategori utama pemenang terdiri daripada Mr/ Mrs Lose Weight dan Mr/ Mrs Fit. Selain itu, terdapat juga ketegori pemenang sampingan seperti Handgrip, High Knees dan Plank. Berakhirnya program ini bukan bermaksud tamatnya usaha peserta dalam misi meningkatkan kecergasan masing-masing, tetapi menjadi pemangkin untuk  terus beristiqomah melakukanya. Petikan kata-kata daripada selebriti kecergasan, Dwyane Johnson turut menyebut, “Success isn’t always about greatness. It’s about consistency. Consistent hard work gains success. Greatness will come”.