Webinar Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSH) di Tempat Kerja

UiTM Cawangan Pahang, 12 Januari 2024 – Telah berlangsung dengan jayanya Webinar Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Tempat Kerja secara dalam talian menerusi pelantar Webex.  Webinar ini merupakan anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang.

Webinar ini menjemput Penceramah dari BI Technologies Corporation Sdn. Bhd. iaitu Ts. Luqmanulhafiz bin Ramli untuk berkongsi pengalaman tentang aspek OSH.  Penceramah menyentuh tentang kepentingan melindungi para pekerja di tempat kerja daripada berlakunya kemalangan, kecederaan dan pendedahan kepada bahan berbahaya serta pematuhan Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja.

Penganjuran webinar ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan teknikal dalam memastikan tempat kerja yang selamat dan sihat, malah membantu memahami bagi mencegah kemalangan industri dan penyakit pekerjaan daripada pelbagai sektor industri.  Para peserta yang mengikuti webinar ini adalah seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Program, Pelajar yang mengikuti Kursus Pengenalan Sumber Manusia dan Pensyarah.

Adalah diharapkan webinar ini dapat membantu meningkatkan kesedaran para peserta tentang pentingnya OSH di tempat kerja serta mengurangkan kadar kematian dan kemalangan dalam kalangan pekerja dan majikan di Malaysia.  Menjaga persekitaran yang selamat dan sihat di tempat kerja dapat meminimumkan risiko di tempat kerja dan dapat melindungi pekerja dan kawasan persekitaran.

Justeru, selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG), SDG 3 iaitu kesihatan yang baik dan kesejahteraan dan SDG 4 iaitu kualiti pendidikan, PPPT akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia.  PPPT yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah Asmui amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian PPPT dan UiTM Cawangan Pahang amnya.