Wakaf Buku: ‘Gift Of Reading 2.0’

Sejajar dengan usaha pemerkasaan pendidikan berkualiti (SDG 4), UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka terus proaktif dalam inisiatif pengayaan literasi Bahasa Inggeris komuniti setempat. Sebagaimana siri program terdahulu, Gift of Reading bermatlamat memupuk minat membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah dalam wilayah Jengka. Program khidmat komuniti siri kedua ini diadakan pada 12 November 2021 melibatkan seramai 41 orang murid Tahun 4, 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan Desa Jaya, Bandar Jengka.

Program ini dimulakan dengan majlis penyerahan wakaf buku kepada pihak sekolah yang disampaikan oleh pengerusi program, Dr Roslina Abdul Aziz mewakili pihak Akademi Pengajian Bahasa kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Desa Jaya, YBhg Tuan Mohd Itan Saady Yeop Yahaya. Turut hadir ialah YBhg Ustaz Abdul Mua’ais Lokman, Guru Penolong Kanan Pentadbiran serta Puan Rosmani Mohd Nawi, Guru Perpustakaan dan Media.

Majlis disusuli dengan sesi pengisian program bertemakan pembacaan buku Bahasa Inggeris secara maya, Virtual Reading Aloud selaras dengan keperluan Prosedur Operasi Standard era pandemik. Sesi kedua ini dikendalikan seramai 18 orang fasilitator yang juga merupakan pensyarah Bahasa Inggeris di Akademi Pengajian Bahasa Kampus Jengka dan melibatkan slot membaca buku What is Your Dream? bersama peserta serta aktiviti mengarang esei pendek 3 Stars and a Dream bertemakan buku yang dibaca bersama. Tiga orang murid dinobatkan sebagai penulis terbaik iaitu adik Nur Fariesha Zahirah Mohd Faizal, Tahun 6 UIAM di tempat pertama, adik Dhiya Nur Safiyya Mohamad Safuan, Tahun 4 UKM di tempat kedua dan adik Dhiya Qistina Ahmad Zamari, Tahun 6 UKM di tempat ketiga.

Para pemenang merangkul hadiah bahan bacaan Bahasa Inggeris serta sijil kemenangan daripada Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang selaku penganjur program. Semoga program seumpama ini dapat meningkatkan literasi Bahasa Inggeris seterusnya memastikan ketampakan UiTM Cawangan Pahang dalam menyumbang kepada teras pendidikan berkualiti komuniti setempat.