Memori 2020 : Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 Di Kampus

Tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Tanpa kita sedari kita telah lama meninggalkan tahun 2020 yang dahulu hebat diperkatakan tentang wawasan serta gambaran futuristik. Namun apa yang kita alami pada tahun 2020 nyata bukan satu impian namun satu igauan untuk setiap manusia yang masih mampu menghirup udara pada hari ini. Mengimbau kembali detik – detik terjadinya pandemic COVID 19 bukanlah suatu perkara yang kita semua inginkan namun untuk terus beringat pada masa akan datang, ianya perlu dikenang dan dipahatkan didalam sejarah kehidupan setiap insan. Sehingga ke hari ini ketika kita bakal emninggalkan tahun 2021, pandemic COVID 19 masih belum terpadam.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu merupakan satu perkara yang akan menjadi kenangan kepada semua pelajar di Malaysia. Hal ini kerana PKP yang pertama kali dikenakan di Malaysia ibarat seperti satu tembok yang memisahkan para pelajar dengan dunia luar. Sepanjang PKP dilaksanakan semua pelajar yang berada di kampus diminta untuk terus berada dikampus sehingga satu tempoh masa yang akan diberitahu kelak. Hal ini memberi tekanan yang hebat kepada para pelajar ini. Ini kerana, seperti yang diketahui, emosi dan mental pelajar amat-amat terganggu rentetan daripada PKP ini. Justeru itu, pihak SRK dengan bantuan bahagian Hal Ehwal Pelajar, Unit Pengurusan Kolej, Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Majlis Perwakilan Pelajar telah mengadakan pelbagai aktiviti sebagai pengisian kepada para pelajar ini.

Perkhidmatan kaunseling secara dalam talian disediakan oleh Unit Kerjaya dan Kaunseling UiTM Cawangan Pahang dan pelajar bebas untuk menghubungi pegawai psikologi bila-bila masa jika mereka mempunyai masalah atau memerlukan khidmat nasihat. Pegawai psikologi di UiTM Cawangan Pahang bertugas secara bergilir-gilir 24 jam sehari.

Selain itu, pada jam 12.00 hingga 2.00 petang para pelajar diberikan satu ruangan khas untuk menyampaikan luahan hati mereka dan berkongsi cerita mereka bersama rakan-rakan di kolej kediaman. Cara ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar dalam mengahrungi hari yang penuh mencabar sepanjang berada di kolej kediaman. Perkongsian yang dikongsi oleh para pelajar ini disiarkan melalui alat siaraya yang terdapat di kolej kediaman.

Dalam pada itu, para pemimpin pelajar seperti MPP dan JPK juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan rakan mereka yang berada di Kolej sepanjang PKP ini sentiasa dalam keadaan yang sihat dan terkawal emosinya. Mereka bertindak sebagai pemudah cara dalam mengnalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini. Pada setiap hari mereka akan mengumpul segala maklumat berkaitan keperluan pelajar samada keperluan peribadi atau keperluan asas yang lain yang diperlukan olej para pelajar ini. Segala maklumat yang diperlukan itu kemudiannya diserahkan kepada SRK untuk proses pembelian dan penyediaan.

Disamping itu, aktiviti-aktiviti berbentuk pengisian ilmiah juga disediakan kepada para pelajar ini. Antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan membaca buku cerita, pertandingan menulis sajak, pertandingan video kreatif dan juga banyak lagi. semua aktiviti ini dilakukan bagi membolehkan para pelajar tidak berasa kesunyian sepanjang berada di kampus dalam tempoh PKP. Penyertaan yang diterima daripada para pelajar amat menggalakkan.

Pihak Staf Residen Kolej (SRK) bertindak sebagai ibu dan bapa kepada para pelajar ini sepanjang tempoh PKP di KAmpus. Pada setiap hari, pihak SRK akan bergilir-gilir membuat lawatan ke rumah para pelajar bagi mengetahui keadaan para pelajar. Jika ada pelajar yang berada dalam keadaan yang kurang sihat atau terganggu emosi, pihak SRK akan membawa mereka ke hospital dan merujuk mereka kepada pihak yang berkaitan. Segala makan dan minum para pelajar ini dijaga sebaik yang mungkin oleh pihak SRK.

Dalam pada itu, pengisian rohani tidak dilupakan. Program bacaan Al-Quran secara dalam talian dilakukan sepanjang bulan puasa. Selain itu, pada setiap malam jumaat juga akan diadakan majlis bacaan yaasin secara dalam talian. Aspek pengisian rohani merupakan perkara yang penting dalam situasi yang sukar ini. Segala yang dilakukan ini adalah bertujuan memastikan para pelajar tidak berasa keseorangan dan kesunyian.

Kini pelajar telah dibenarkan pulang ke kampus untuk menjalani pembelajaran secara hybrid dan diharap dengan kenangan yang diceritakan ini dapat membuka mata para pelajar bagaimana kita berusaha untuk menang menentang COVID 19. Kita belum menang, maka sama-samalah kita jaga kita.