Sesi Sembang Ofis Kita (Siri 17)

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah meneruskan Sesi Sembang Ofis Kita Siri ke-17 pada 8 November 2021. Sesi satu (1) jam tersebut telah diadakan secara atas talian melalui aplikasi Google Meet bermula jam 8.30 pagi.

Program dimulakan dengan kata-kata aluan dari Pengarah BPPA, Prof. Madya Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan Mohamad. Tajuk sesi kali ini “Kualiti Percetakan Kertas Soalan” telah disampaikan oleh Encik Mohd Hadafi bin Jaafar, Pembantu Penerbitan Kanan, BPPA.

Encik Mohd Hadafi memberikan penerangan tentang tiga (3) faktor utama menjaga kualiti kertas soalan iaitu mesin cetak, bekalan kertas dan set soalan. Ia adalah faktor penting untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan khususnya kepada pensyarah dan pelajar UiTM.

Selain itu, beliau turut berkongsi jenama mesin cetak yang digunakan di BPPA, mesin cetak jenis Ricoh dan Fuji Film. Manakala spesifikasi mesin cetak yang diperlukan oleh BPPA adalah jenis heavy duty dari segi ketahanan dan tempoh masa mencetak lebih lama. Spesifikasi mesin cetak yang lain adalah jumlah cetakan dan fungsi mesin sebagai pencetak.

Encik Hadafi turut menerangkan tentang pengendalian mesin cetak iaitu penyelenggaraan mesin cetak yang dilakukan secara berkala. Untuk jenama Ricoh penyelanggaraan dilakukan empat (4) kali setahun manakala penyelenggaraan untuk jenama Fuji Film dilakukan setiap bulan oleh juruteknik yang berkenaan.

Di penghujung sesi, Encik Hadafi memberikan penerangan berkenaan bekalan kertas, pemilihan jenis/warna kertas dan format set soalan iaitu memastikan penyediaan kertas soalan mengikut format yang telah ditetapkan. Program berakhir kira-kira pada jam 9.30 pagi. Semoga sesi perkongsian kali ini dapat memberikan informasi dan ilmu pengetahuan yang baru kepada semua warga BPPA.