UiTM FSKM Anjur Pertandingan Berprestij MDIT x DVD 2021

UiTM sentiasa cakna dalam dalam melahirkan graduan yang berinovatif, berdaya saing dan keterhadapan. Sehubungan itu, UiTM menerusi Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) bersama Jabatan Perangkaan Malaysia dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM telah melancarkan Pertandingan Malaysia Data Innovation Talent 2021 x DOSM Virtual Datathon 2021 (MDIT x DvD 2021) pada 13 November 2021 secara dalam talian.

Majlis Perasmian MDIT 2021 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar di hadapan sekitar 200 penonton dalam talian. Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan graduan berkepakaran dalam Analitik Data Raya amat diperlukan oleh sektor kerajaan dan industri . Dengan adanya seperti pertandingan MDIT x DVD 2021 ini, ia dapat mengasah bakat, pengetahuan dan kemahiran barisan peserta dalam mengolah, menstruktur dan menganalisa data dan seterusnya menghasilkan idea yang boleh memberikan keberhasilan kepada institusi dan masyarakat keseluruhannya.

Naib Canselor UiTM, Profesor Ts Dr Hajah Roziah Mohd Janor turut menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis tersebut. Menurut beliau, tema pertandingan MDIT x DVD 2021 yang menitikberatkan daya pemikiran kritikal dan penghasilan penyelesaian berlandaskan konsep Matlamat Pembangunan Mampan ( Sustainable Developmen Goals) ini dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar di peringkat pengajian tinggi dalam mengembangkan minda melalui penglibatan aktiviti inovatif dan kreatif.

Sekretariat Mahasiswa FSKM bertindak sebagai tenaga penggerak MDIT x DVD 2021 telah berjaya menarik penyertaan 74 kumpulan peserta yang terdiri daripada 296 pelajar dari universiti awam dan swasta. Para peserta akan diberi bimbingan oleh pakar-pakar dari industri dalam menghasilkan penyelesaian dalam pertandingan ini menerusi beberapa siri bengkel.

MDIT x DVD 2021 juga menarik nama-nama besar industri sebagai penaja. Bank Islam bertindak sebagai penaja utama disamping Microsoft dan KPMG. Para peserta akan bertanding selama sebulan untuk merebut hadiah berjumlah RM9999. Pemenang akan diumumkan pada majlis penutup yang akan berlangsung pada 11 Disember 2021 nanti.