Universiti Teknologi MARA Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Bersama Indonesia Banking School, Indonesia

SHAH ALAM, 30 Ogos 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Indonesia Banking School, Indonesia (IBS) dalam majlis yang telah berlangsung secara hibrid melalui aplikasi Zoom di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Indonesia Banking School, Indonesia (IBS) ini telah melakar satu sejarah baharu bagi kedua-dua institusi dalam kerjasama akademik dan penyelidikan. Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Pengerusi IBS, Dr. Kusumaningtuti S. Soetiono, serta disaksikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith dan Ibu Puspita. Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi FSPPP dan IBS.

Matlamat utama MoA ini adalah untuk meningkatkan usaha ke arah objektif bersama dalam meraikan percambahan ilmu pengetahuan melalui kerjasama pintar dalam pelbagai disiplin. Dengan termeterainya MoA ini, diharapkan agar kedua-dua pihak dapat mempergiatkan kerjasama, khususnya dalam bidang penyelidikan dan kolaborasi melibatkan pensyarah dan pelajar kedua-kedua institusi.

Hubungan antara UiTM dan IBS ini dilihat sebagai satu strategi untuk membuka peluang perkongsian global secara komprehensif. Ini adalah kerana agenda pembangunan yang berjaya memerlukan perkongsian inklusif di peringkat global, serantau dan nasional yang di bina atas prinsip, nilai serta matlamat bersama. Untuk itu, kedua-dua pihak akan terus berkolaborasi bagi memperoleh impak yang positif dalam pelbagai bidang, khususnya penyelidikan serta pembangunan pelajar.