Lawatan Penanda Aras dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Ukur Kuantiti, Universiti Antarabangsa INTI ke Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pulau Pinang

PERMATANG PAUH, 4 September 2023 – Pada 18 Ogos 2023 yang lalu, Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh (PKA UiTMCPP) telah menerima lawatan akademik dan penanda aras daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Ukur Kuantiti, Universiti Antarabangsa INTI. Lawatan akademik dan penanda aras ini adalah inisiatif daripada pihak Universiti Antarabangsa INTI untuk melihat pelaksanaan program Diploma Kejuruteraan Awam telah dilaksanakan oleh pihak PKA UiTMCPP khususnya dalam mengendalikan lawatan audit akreditasi Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) pada Julai 2023 yang lalu. Antara kriteria yang dibincangkan semasa sesi lawatan adalah struktur kurikulum Diploma Kejuruteraan Awam, Outcome-Based Education (OBE), open-ended laboratory (OEL) dan quality management system (QMS).

Selain itu, delegasi Universiti Antarabangsa INTI juga dibawa melawat makmal yang terdapat di PKA UiTMCPP bagi melihat peralatan yang digunapakai bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada delegasi Fakulti Kejuruteraan dan Ukur Kuantiti, Universiti Antarabangsa INTI yang diketuai oleh Koordinator Program, Dr. Sudesh Nair Bakara yang sudi berkunjung ke PKA UiTMCPP dan bertukar buah fikiran dalam mengukuhkan kelangsungan program di kedua-dua institusi.

Terima kasih juga diucapkan kepada KPP PKA, Dr. Juhaizad Ahmad, Koordinator Program Diploma Kejuruteraan Awam (CEEC110), Ts. Dr. Mohd Samsudin Abdul Hamid, Koordinator Unit Jaminan Akreditasi dan Alumni ETAC, Ir. Nurjuhanah Juhari dan barisan pensyarah serta penolong jurutera makmal yang hadir memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang program berlangsung. Lawatan akademik ini telah berjaya meluaskan jaringan kerjasama antara Universiti Antarabangsa INTI dan UiTM Cawangan Pulau Pinang. Semoga dengan pelaksanaan program akademik seperti ini dapat menjadi pemangkin kearah pencapaian UiTM dalam menuju Globally Renowed University 2025.