Universiti Pertama Catat Sejarah Dalam Malaysia Book of Records Dengan Penganugerahan Skrol yang ke Satu Juta Di Istiadat Konvokesyen Ke-97

SHAH ALAM, 20 OGOS 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengukukuhkan lagi kedudukan sebagai institusi pendidikan terunggul apabila mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan Penganugerahan Satu Juta Skrol di Istiadat Konvokesyen Ke-97.

Penganugerahan ini diperakui oleh Malaysia Book of Records apabila penerima skrol ke sejuta, saudari Nur Liyana Athirah Izani dari Fakulti Sains Gunaan menerima skrol dalam Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-97 yang berlangsung dari 5 Ogos hingga 15 September 2023.

Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM dalam ucapannya berkata “Pada konvokesyen kali ini, UiTM berbangga meraikan penganugerahan skrol yang ke sejuta pada Sidang ke-22. Ini menjadikan jumlah skrol yang dikeluarkan oleh UiTM sehingga berakhirnya istiadat konvokesyen kali ini adalah sebanyak 1,003,241 skrol. Suatu angka yang boleh dibanggakan kerana ia mencerminkan, bahawa UiTM telah menggerakkan misinya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan bumiputera profesional menerusi kurikulum terkehadapan dan penyelidikan berimpak”.

Istimewanya di dalam sidang ini, bukan sahaja pemegang skrol ke sejuta mendapat hadiah istimewa, malah, kesemua graduan di dalam sidang ini turut menerima tajaan berupa baucar pembelian daripada para penaja. Hadiah istimewa akan diberikan kepada pemegang skrol ke:

● 1,000,000 (satu juta)
● 999,999 (sembilan ratus sembilan puluh sembilan ribu, sembilan ratus sembilan puluh sembilan)
● 1,000,001 (satu juta satu)
● 1,000,002 (satu juta dua)

UiTM berbangga dengan pencapaian kesemua graduannya dan turut gembira meraikan kejayaan keluarga besar UiTM.

Galeri Gambar: