MALAM GALA EUNOLA: CERITERA 18 PURNAMA

SHAH ALAM, 21 Julai 2023 – Majlis Malam Gala Eunola: Ceritera 18 Purnama, merupakan usaha pelajar semester 5 program LG241, Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Melayu Komunikasi Profesional (LG241) bersama Persatuan Bahasa Melayu Komunikasi Profesional (BMKP). Majlis ini telah diadakan di Hotel UiTM pada 21 Julai 2023 dan dihadiri oleh Ketua Pusat Pengajian LG241, Dr. Rozaimah Rashidin dan para pensyarah LG241.Majlis ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan di antara pelajar dan pensyarah LG241 serta meraikan pencapaian sebelum menjalani latihan industri yang merupakan salah satu kursus wajib.

Bertemakan Glam and Glitch, para pelajar berpeluang menggayakan busana yang cantik untuk tampil anggun dan elegan pada malam tersebut. Majlis ini juga turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada para pelajar. Acara cabutan bertuah dan pemberian anugerah kepada pensyarah merupakan salah satu acara akhir yang dinanti-nantikan pada malam tersebut.

Penganjuran majlis ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran interpersonal para pelajar malah memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman sebenar sebagai seorang mahasiswa tatkala menjalani pembelajaran secara ODL berikutan pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia.