UiTM Tingkatkan Kesedaran Siber Melalui Pameran Sekolah

Shah Alam, 5 Disember 2023 – Satu inisiatif program SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber telah berjaya dianjurkan oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Perdana dengan usahasama Sekolah Kebangsaan Padang Jawa, Shah Alam.

Dihadiri lebih 100 orang murid, aktiviti pendidikan berteraskan permainan ini telah dijalankan di Pavilion Lestari Al-Ihsan, SK Padang Jawa, dan telah dibimbing oleh 15 mahasiswa dan mahasiswi UiTM dari program Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Kandungan Maklumat. Kepingan papan sandwic (sandwich board) telah disediakan sebagai medium penyampaikan maklumat tentang keselamatan dunia siber. Video interaktif daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) dan permainan dalam talian yang bertemakan keselamatan siber turut disediakan bagi mendorong penglibatan aktif murid-murid SK Padang Jawa.

    

Peserta bengkel turut dilatih tentang etika kata laluan, bahaya penggodaman, dan keselamatan permainan dalam talian. Mereka juga berpeluang bermain permainan dalam talian berteraskan keselamatan yang sudah pastinya menangkap  minat generasi muda.

Muhammad Rayyan Mikail bin Mohammad Badlisham yang merupakan salah seorang peserta merakamkan penghargaan kepada UiTM kerana menjadikan beliau lebih cakna kepentingan keselamatan siber. Arjuna Mikhael bin Zulkarnain, juga salah seorang peserta, turut menambah, “Saya suka aktiviti ini! Saya amat berharap agar kami dapat melakukan lebih banyak aktiviti seumpanya pada masa akan datang kerana ia amat menyeronokkan”.

Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.