UiTM Terajui Sesi Perbincangan Program MDIT X DOSM Datathon 2023

PUTRAJAYA, 15 Jun 2023 Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) di bawah Pusat Pengajian Sains Matematik bersama wakil daripada Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengadakan satu sesi perbincangan mengenai program Malaysia Data Innovation Talent x DOSM Datathon 2023 (MDIT x DD 2023). Program pertandingan peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung ini terbuka kepada semua pelajar diploma dan ijazah di seluruh institusi pengajian tinggi, IPTA dan IPTS di Malaysia. Peserta yang terdiri daripada empat orang pelajar dan seorang pensyarah sebagai penasihat perlu menghasilkan papan pemuka (dashboard) visualisasi data yang diperoleh mengikut kreativiti masing-masing.

ILSM/DOSM dan BNM akan menganjurkan program Persidangan MyStats 2023 pada 25 dan 26 September 2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia. Pihak KPPIM, UiTM menyambut baik cadangan daripada pihak ILSM/DOSM dan BNM untuk menjalankan secara langsung acara pitching sepuluh peserta terbaik yang terpilih bagi program MDIT x DD 2023 dengan program Persidangan MyStats 2023 yang akan berlangsung di lokasi yang sama. Pihak KPPIM yang telah hadir ke perbincangan diwakili oleh Profesor Madya Dr Ahmad Zia Ul-Saufie Mohamad Japeri,  Ketua Pusat Pengajian Sains Matematik; Puan Sanizah Ahmad, Koordinator Jaringan Alumni KPPIM; Dr Siti Nur Zahrah Amin Burhanuddin, Penasihat utama MDIT; Dr Adzhar Rambli, Penasihat MDIT serta Dr Siti Afiqah Muhamad Jamil, Liaison Officer DOSM-UiTM bersama tiga orang pelajar yang juga merupakan ahli jawatankuasa tinggi program MDIT.

Seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG), dan bagi memfokuskan kepada tema yang lebih berimpak terhadap situasi masa kini, 5 daripada 17 matlamat SDG telah dipersetujui dipilih sebagai tema utama bagi program MDIT x DD 2023 iaitu, Tiada Kemiskinan (No Poverty), Sifar Kelaparan (Zero Hunger), Kesejahteraan yang Baik (Good Health and Well-Being), Pendidikan Berkualiti (Quality Education), dan Tindakan Iklim (Climate Action). Kerjasama antara UiTM bersama ILSM/DOSM dan BNM bukan hanya dapat memberi manfaat kepada pihak universiti dan organisasi luar malah dapat membuka minda para pelajar khususnya golongan mahasiswa untuk berfikiran lebih kritis terhadap bidang penyelidikan dan visualisasi data selari dengan pembangunan teknologi masa kini.