Neon Run: UiTM Lahirkan Generasi Sihat dan Cergas

SHAH ALAM, 20 Jun 2023Information Technology Club (ITeC) dan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah berkolaborasi menganjurkan Program Larian Neon (Neon Run) yang telah berlangsung pada 16 Jun 2023 di Dewan Al-Ghazali, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa melalui bilangan penyertaan seramai 120 orang peserta daripada para pelajar seluruh UiTM, khususnya pelajar KPPIM. Kehadiran Prof. Ts. Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor KPPIM, serta En. Mohd Nazrul Mohd Amin, Dekan Hal Ehwal Pelajar KPPIM dan Puan Kasmarini Baharuddin, Penasihat Kelab PRS untuk merasmikan Program Neon Run tersebut telah memeriahkan dan memberi semangat para peserta program. 

Puan Kasmarini dalam ucapan perasmiannya turut berkata, “Program ini bukan sahaja bertujuan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat yang sihat dan cergas, tetapi merupakan satu inisiatif yang sangat bermanfaat dan patut dibanggakan”.

“Saya difahamkan bahawa hampir 80 peratus tenaga kerja bagi program sebegini datangnya daripada pelajar sendiri terutamanya pihak ITeC dan juga PRS, dan hal ini bertepatan dengan fokus pemerkasaan mahasiswa yang mana mahasiswa berhak menganjur dan mengelola aktiviti persatuan secara kreatif dan penuh bertanggungjawab dengan penglibatan minimum staf. Tahniah saya ucapkan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Program Neon Run, Zameer Reeza Zaini berkata, “Program Neon Run yang dianjurkan pada julung kalinya ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan kerjasama ahli jawatankuasa kerja yang bertungkus lumus menjayakan program ini”.

Program ini diserikan lagi dengan acara senamrobik dan pelepasan larian dengan tanda bunyi hon yang telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr Haryani Haron. Majlis penutup program diakhiri dengan sesi ucapan penutup oleh moderator program dan juga sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang yang merupakan tiga peserta terawal yang berjaya menghabiskan larian dengan catatan masa terpantas. 

ITeC dan Kelab PRS beraspirasi untuk melaksanakan program-program lain yang dapat menarik minat serta bermanfaat kepada para pelajar UiTM, sama ada dalam bentuk pembelajaran, mahupun program-program yang dapat memupuk kerohanian dan mengeratkan silaturrahim para pelajar UiTM.

Galeri Gambar: