Pensyarah UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Terima Surat Sah Jawatan

TAWAU, 28 JUN 2023 : – Dr. Azmin Pullong, Pensyarah Kanan Gred DM51, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah menerima surat pengesahan ke dalam perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 16 Mac 2023 yang lalu.

Penyerahan surat tersebut telah disempurnakan Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling mewakili pihak Pengurusan Tertinggi UiTMCSH pada jam 8.30 pagi, Rabu di Bangunan Menara Gemilang.

“Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur menerima berita gembira ini. Sejujurnya, laluan kerjaya saya untuk menjadi pensyarah tetap di UiTM penuh berliku. Bukan mudah. Hanya yang pernah melaluinya akan faham perasaan dan pengalamannya. Tetapi itulah ketentuan. Jika sudah tertulis itu rezeki kita, Insya-Allah tetap akan sampai ke tangan kita jua,” kata anak kelahiran Kunak tersebut.

Ditanya lanjut tentang azamnya, beliau akan terus berusaha memberikan yang terbaik khususnya anak bangsa agar mereka berjaya menggapai cita-cita yang diimpikan.

Untuk rekod, Dr. Azmin memperolehi kelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Pengajian Islam dan mula berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan UiTM pada 2 Julai 2020. Sebelum ini, beliau adalah Pensyarah Sambilan dari tahun 2012 hingga 2015.
Dr. Azmin berpengalaman sebagai guru interim Pendidikan Islam bagi lantikan tahun 2017-2020 dan pernah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Ongkilan, Kota Marudu, Sabah.