UiTM Sarawak Raih Anugerah Gangsa bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS)

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak telah mengukir sejarah dengan memenangi Anugerah Gangsa bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) dalam kategori Agensi Utama Sarawak pada Majlis Hari Perkhidmatan Awam (HPA) 2024. Pengiktirafan ini tidak hanya menjadi satu kebanggaan bagi UiTM Sarawak, tetapi juga memberi peluang untuk membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000.

Anugerah ini disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada hari Rabu, 7 Februari 2024.

AKPANS, sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak (AKKMS), telah melalui proses penjenamaan semula pada tahun 2010 bagi menambah baik serta memperkukuhkan kriteria penilaian. Penjenamaan ini turut melibatkan pengambilan kira elemen serta nilai kualiti Malcolm Baldrige, Star Rating MAMPU, dan Pelan Tindakan SCS 10-20. Anugerah ini bertindak sebagai satu mekanisme untuk mengukur pencapaian prestasi serta mengiktiraf keberkesanan penyampaian perkhidmatan berdasarkan tadbir urus yang cemerlang melalui pematuhan piawaian kriteria tertentu iaitu ’best practices’. AKPANS merupakan inisiatif pengiktirafan Perkhidmatan Awam yang menonjolkan prestasi jabatan atau agensi kerajaan di Sarawak yang mencapai tahap kecemerlangan kualiti dalam keberkesanan tadbir urus, operasi, serta penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan.

Dengan penerimaan Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS), UiTM Sarawak telah membuktikan bahawa kecemerlangan bukanlah satu matlamat yang jauh, tetapi sesuatu yang dapat dicapai melalui komitmen dan usaha bersama.

Tahniah diucapkan kepada UiTM Cawangan Sarawak atas pencapaian gemilang ini yang menjadi mercu tanda keunggulan dan inovasi dalam perkhidmatan awam Sarawak. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin bagi lebih banyak pencapaian cemerlang di masa hadapan.

Sumber Foto : Puan Noor Shima Antony (Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan)