Program Bual Bicara Pakar Siri ke-2 bersama Profesor Dr. Roslan Zainal Abidin

Program bual bicara pakar siri ke 2 bersama Profesor Dr. Roslan Zainal Abidin telah diadakan pada 20 Februari 2024 di Bilik Latihan Staf, melibatkan semua staf akademik dan teknikal Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) UiTM Cawangan Pahang. 

Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian (KPP) Ts. Dr. Rohaya Alias. KPP turut mengumumkan penubuhan Special Interest Group (SIG) yang baru dengan diberi nama Disaster Prediction Research Group. SIG ini diketuai oleh Ts. Zulhafizal Othman adalah lanjutan tindakan hasil dari lawatan Profesor Adjung Siri 1 yang lalu.

 

Melalui perkongsian akademik bertajuk “Riverbank Failure with regards to Degree of Soil Erodibility”, Prof Dr. Roslan berkongsi mengenai hakisan melibatkan tebing bukit dan kawasan cerun bukit. Rupa Bentuk geografi, kajian kes hakisan tebing Sungai Langat, skala ROM, aplikasi skala ROM dalam kajian kes Sungai Langat turut dibincangkan dalam wacana akademik tersebut.

Para peserta mendapat manfaat dalam perkongsian ilmu pada masa yang sama potensi cadangan penyelidikan yang boleh dijalankan terutama melibatkan hakisan cerun bukit dan tebing sungai di Negeri Pahang.

Pada sebelah petang, Prof Dr. Roslan bersama ahli kumpulan SIG membuat lawatan tapak di sekitar UiTM Pahang Cawangan Jengka, untuk melihat projek kawalan banjir dan potensi lokasi pembinaan stesen hujan. Lawatan dilanjutkan di Bandar Pusat Jengka melihat stesen hujan sedia ada yang didirikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). 

Inisiatif ini diterajui oleh Ts. Zulhafizal Bin Othman selaku Pengarah Program dan Ketua SIG. Program ini diharapkan dapat mempertingkat ilmu, kemahiran dan pengalaman kepada semua staf PKA UiTM Pahang di samping memberi manfaat langsung kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar Negeri Pahang serta wilayah Pantai Timur melalui aktiviti penyelidikan pada masa akan datang.