UiTM Muncul Juara Intervarsity Young Motivator Competition (I-MAC) 2022 Peringkat Kebangsaan

KOTA KINABALU, 3 DISEMBER 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya mengembalikan kejuaraannya dalam Intervarsity Young Motivator Competition (I-MAC) 2022 Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 11 hingga 14 November 2022. Program ini telah disertai 20 buah universiti awam di mana setiap IPTA ini perlu menghantar dua orang pelajar sebagai calon peserta.

UiTM muncul sebagai Johan I-MAC 2022 melalui Saudara Muhammad Amirul Abrar Abdullah yang merupakan pelajar semester akhir daripada Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Shah Alam. Manakala seorang lagi pelajar yang mewakili UiTM adalah Saudara Che Mohamad Haniff Che Khalid daripada Program Diploma Sains Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Kampus Tapah. Saudara Haniff yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Perak berjaya mara sehingga Peringkat Separuh Akhir.

I-MAC merupakan program berbentuk pertandingan melalui pengucapan awam yang diadakan untuk mencari bakat-bakat baru dalam kalangan pelajar universiti awam bagi menyediakan pelapis kepada motivator berpengalaman tanah air. Pertandingan ini diadakan sejak 2015 melalui platform Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) di mana Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjadi tuan rumah bagi pertandingan ini untuk kali yang pertama disusuli oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 2017, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2018 dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2019.

Sebagai rekod pencapaian, UiTM telah menjuarai pertandingan ini sebanyak dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2018 dan 2019. Namun program ini telah ditangguhkan pada 2020 disebabkan penularan wabak Covid-19. Program tahun 2021, program ini diadakan secara atas talian dan pada tahun ini program kembali diadakan secara fizikal di UMS.

Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM mengambil inisiatif dengan menjalankan pencarian wakil motivator secara menyeluruh iaitu melibatkan UiTM Seluruh Sistem bagi memilih wakil terbaik mewakili UiTM melalui acara University Motivator Competition (UMAC) Peringkat UiTM yang telah berlangsung pada 28-30 Oktober 2022 di UiTM Shah Alam.

Menurut Puan Siti Nuraini Amran, Pegawai Psikologi Kanan, UiTM Shah Alam, I-MAC 2022 merupakan satu platform yang baik dan berjaya mencungkil banyak bakat terpendam sebagai motivator muda dalam kalangan pelajar universiti awam. Pertandingan kali ini mempamerkan saingan sengit yang sihat apabila siswa siswi tanpa putus asa berusaha menonjolkan kehebatan dan kelebihan masing-masing.