Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat UiTM 2022

PUNCAK ALAM, 02 DISEMBER 2022 – Unit Perkhidmatan OKU Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya peringkat UiTM Tahun 2022, bersempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya yang disambut pada 3 Disember setiap tahun. Pada tahun ini, tema “Penyelesaian Transformatif Untuk Pembangunan Inklusif: Peranan Inovasi dalam Memacu Dunia yang boleh Diakses Dan Saksama” diangkat sebagai tema Hari Orang Kurang Upaya Sedunia 2022.

Sehingga September 2022, sebanyak 832 orang OKU telah berdaftar bersama Unit Perkhidmatan OKU UiTM. Daripada jumlah berkenaan, seramai 81 orang staf OKU dan 364 orang merupakan staf dengan tanggungan OKU UiTM. Manakala 387 merupakan mahasiswa OKU dan jumlah ini merupakan angka tertinggi mahasiswa di universiti awam di Malaysia.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata, inisiatif dan perkhidmatan yang diusahakan oleh pihak UPO UiTM dapat meningkatkan kebolehnampakan warga OKU UiTM yang merangkumi Staf OKU, Staf ada Tanggungan OKU, Mahasiswa, serta Alumni OKU UiTM. “Antara pencapaian UPO UiTM adalah melalui pelaksanaan inisiatif Tabung Cakna OKU UiTM, Bantuan Khas Warga OKU UiTM, penaiktarafan prasana dan fasiliti, serta penganjuran pelbagai program kesedaran dan pemerkasaan OKU.  Perkidmatan Jurubahasa Isyarat bagi mahasiswa pekak antara sumbang besar UPO yang sangat membanggakan.”

Pencapaian ini sekaligus merealisasikan dasar keterangkuman seperti yang terkandung di dalam Sustainable Development Goal (SDG) ke-10 yang mensasarkan kesamarataan dalam semua aspek. Diskriminasi terhadap warga OKU perlu di hapuskan dan ruang untuk berkembang dan maju dari segi pencapaian individu sangat signifikan bagi menyokong pencapaian cemerlang UiTM,” jelas beliau.

Buat pertama kali, sebanyak tujuh kategori anugerah telah diwujudkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan warga OKU dan juga warga yang cakna OKU di UiTM. Naib Canselor UiTM telah menyampaikan kesemua anugerah berkenaan iaitu Anugerah Khas Mahasiswa OKU, Anugerah Khas Staf OKU Menyerlah, Anugerah Khas Penjaga OKU Mithali, Anugerah Khas Sahabat OKU Prihatin, Anugerah Khas PTj (Pusat Tanggungjawab) Prihatin, dan Anugerah Khas Disability Liaison Officer (DLO) di Dewan Berlian, UiTM Kampus Puncak Alam pada hari ini bersempena dengan Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Tahun 2022.

Anugerah-anugerah ini merupakan simbol penghargaan dan pengiktirafan tertinggi UiTM kepada semua pihak yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan OKU di UiTM khususnya dan Malaysia secara amnya. Anugerah Khas Mahasiswa dan Staf OKU ini diwujudkan bagi memberi penghormatan kepada mahasiswa dan staf OKU yang berdayasaing dalam mendorong diri mereka untuk cemerlang bukan sahaja di Universiti malahan sumbangan kepada masyarakat.

Manakala, Anugerah Khas Penjaga OKU Mithali khas buat penjaga yang cekal dan tabah menjaga dan melindungi tanggungan OKU mereka ke arah kesejahteraan OKU dalam masyarakat. Untuk kategori Anugerah Khas PTj Prihatin, Anugerah Khas Disability Liaison Officer (DLO) dan Anugerah Khas Sahabat OKU Prihatin merupakan tiga anugerah yang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada PTj, dan DLO yang sentiasa memberi sokongan padu dalam menangani isu-isu berkaitan warga OKU di UiTM khususnya dan Malaysia amnya.

Disamping itu juga anugerah ini dapat menggalakkan PTj dan DLO dalam memastikan pengurusan warga OKU UiTM di PTj masing-masing sentiasa terjaga. Ini diikuti Anugerah Khas Sahabat OKU Prihatin bagi mengiktiraf usaha sahabat kepada OKU dalam menyokong kemenjadian dan membantu rakan OKU melonjak potensi penuh mereka dan diperkasa.

UiTM amat komited dalam memastikan semua warganya tidak tertinggal dalam semua aspek dan agenda di institusi ini dan OKU tidak terkecuali. Ini juga selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia yang menekankan konsep inklusiviti dan sejajar dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG) ke-10 iaitu ‘Reduced Inequality’.