Program Domain Kesaksamaan Dan Kepimpinan Kendiri Advokasi Gender: Gender Bias “Bos Wanita Vs Bos Lelaki”

ALOR GAJAH, 25 November 2022 – Telah berlangsung Program Domain Kesaksamaan Dan Kepimpinan Kendiri Advokasi Gender: Gender Bias “Bos Wanita Vs Bos Lelaki” anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka dengan kerjasama Unit Kerjaya & Kaunseling dan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, UiTM Cawangan Melaka.

Program ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita. 25 November telah diumumkan oleh United Nation (UN) sebagai tarikh Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita (WeVAW). Sambutan ini diadakan pada setiap tahun dan sebagai sebuah negara yang cakna dan prihatin, Malaysia tidak terkecuali dalam menyambut sambutan ini bagi meningkatkan kesedaran secara menyeluruh di kalangan masyarakat dalam menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita.

Sejajar dengan kempen menangani keganasan terhadap wanita, program keseimbangan dan advokasi gender adalah bertepatan dalam mempromosikan keseimbangan peranan jantina serta kesaksamaan gender selain menambahkan ilmu pengetahuan dan kesedaran khususnya kepada wanita dan masyarakat amnya akan hak-hak wanita.

Seramai lebih 90 orang peserta yang terdiri dari warga UiTM Cawangan Melaka dan ahli NGO luar telah menyertai program ini. Di antara pengisian program ini adalah slot ceramah bertajuk “Domain Kewangan Muflis di Usia Muda” yang disampaikan oleh Encik Mohd Nazri Md Said, Eksekutif Cawangan, Bank Rakyat Ayer Keroh. Selain itu, turut diadakan sesi forum bertajuk “Kesaksaman dan Kepimpinan Advokasi Gender : Bos Wanita Vs Bos Lelaki” bersama 2 orang panel jemputan iaitu Prof. Madya Ts Dr Afizan Bin Azman, Pensyarah Taylor’s University dan Dr Siti Aishah Binti Yahya, Dekan Fakulti Sains Sosial , Universiti Melaka (UNIMEL).