BKRP Digital Filing System Hasil Perkongsian Kepakaran Pustakawan UiTM dan Kementerian Kesihatan Malaysia

Shah Alam, 23 November 2022 – Satu majlis penyerahan BKRP Digital Filing System telah diadakan antara Pustakawan Kanan Tuan Hj. Ahmad Faizar bin Jaafar dan Ketua Penolong Pengarah Kanan YBrs. Encik Yusri bin Yusuf bertempat di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.

Turut hadir Pustakawan Kanan Encik Mohd Izwan bin Salim dan Penolong Pengarah Kanan Dr. Tan Hun Yee.
BKRP Digital Filing System ialah satu sistem repositori rekod yang mengandungi dokumen-dokumen utama di dalam format digital. Tujuan utama pembangunan BKRP Digital Filing System ini ialah untuk pengaksesan maklumat yang lebih mudah, pantas dan cekap. Ia juga membantu dalam penjimatan ruang rekod kesan kuantiti rekod fizikal yang semakin bertambah.

Pembangunan BKRP Digital Filing System ini bertepatan dengan jalinan Surat Hasrat (LOI-Letter of Intent) yang ditandatangani pada 28 September 2022 antara PTAR dan Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perkara yang lebih membanggakan, BKRP Digital Filing System dibangunkan oleh kepakaran dalaman tanpa melibatkan sebarang kos.

Perkongsian kepakaran antara sektor kerajaan ini memberi manfaat yang besar terhadap operasi institusi dan pihak berkepentingan. Dengan berbantukan teknologi pendigitalan dan sistem penyimpanan maklumat bersepadu, tahap penyampaian perkhidmatan ditambahbaik dan jangka hayat penyimpanan rekod kekal terpelihara.