UiTM Memperkasa Usaha Meningkatkan Kebolehpasaran Graduan Melalui Penganjuran CaIREx

SHAH ALAM, 18 OKTOBER 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pusat Kerjaya dan Kaunseling Bahagian Hal Ehwal Pelajar hari ini telah menganjurkan Career and Industrial Relation Expo (CaIREx) 2023. Penganjuran CaIREx 2023 adalah hasil kolaborasi bersama pihak Talenbank yang mana merupakan rakan kongsi rasmi penganjuran ekspo kerjaya tersebut untuk kali yang ke-17. CaIREx 2023 telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) disaksikan oleh YBrs. Pn. Wan Noraini Wan Yusoff, Pengarah Pusat Kerjaya & Kaunseling dan Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, YBrs. Encik Ben Ho.

YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi dalam ucapan perasmiannya menyatakan, Pihak universiti akan sentiasa berusaha dan komited dalam melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan di peringkat UiTM. Pada tahun 2022, kadar kebolehpasaran graduan UiTM ialah 89.4 peratus iaitu meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding tahun 2021 iaitu 83.1 peratus. Beliau percaya peningkatan ini adalah hasil usaha semua pihak yang bertungkus lumus demi memastikan pencapaian 90 peratus kebolehpasaran graduan UiTM seperti yang disasarkan menjelang 2025.

CaIREx dianjurkan adalah untuk mendedahkan kepada pelajar tentang tren pekerjaan terkini, memberi peluang kepada bakal graduan menghadiri temuduga terbuka selain meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya perancangan kerjaya di peringkat awal melalui aktiviti pembangunan profil kerjaya. Penganjuran CaIREx pada kali ini disertai lebih daripada 40 syarikat yang menawarkan jawatan kosong dan menjalankan temuduga secara “walk-in” kepada pengunjung. Antaranya termasuklah Maybank, CIMB, Exxon Mobil, Intel, X-Fab dan Shui Xing Ventures. CaiREx yang berlangsung selama dua hari iaitu 18 dan 19 Oktober turut dibuka kepada orang awam di sekitar Lembah Klang.

Galeri Gambar: