Kumpulan dari Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Uitm Cawangan Perak dinobat juara Pertandingan Creative & Innovative Recycle Idea Competition 2023.

KUALA KANGSAR, 14 Oktober 2023 – Sekumpulan pasukan dari Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah berjaya menjuarai pertandingan Creative & Innovative Recycle Idea Competition 2023 (PCIRI’23) yang telah diadakan pada 14 Oktober 2023, bertempat di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak.

“PERAK CREATIVE & INNOVATIVE RECYCLE IDEA ‘23” merupakan satu platform kepada Program Seni Visual Kreatif dengan Kerjasama Unit Penyelidikan dan Inovasi Kolej Komuniti Chenderoh dalam mengetengahkan inovasi serta rekacipta produk kreatif dengan menggunakan bahan kitar semula bagi memupuk kesedaran dan keperihatinan terhadap alam sekitar.

Pertandingan yang bertemakan identiti negeri Perak, telah mengangkat kumpulan UiTM Cawangan Perak yang terdiri daripada pensyarah Encik Mohd Nafis bin Saad bersama pelajarnya Arif Asyraf bin Badruzzaman, Nur Ainina binti Mohd Azmi dan Nurul Izzaty Nasuha binti Zulkifli sebagai juara kategori Super Senior (IPTA/IPTS). Sebanyak 25 kumpulan yang terdiri daripada Kolej – kolej Komuniti, Politeknik, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Universiti Awam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dari serata negeri Perak telah menyertai dalam pertandingan ketegori ini.

Kumpulan Uitm telah menghasilkan produk inovasi dinamakan CREAT yang mengetengahkan kesenian dan pelancongan. 2 produk yang terhasil adalah karya seni dan pelapik alas pinggan & cawan dengan mengolah bahan kitar semula plastik. Produk inovasi ini telah berjaya menarik dan menambat hati juri pertandingan serta pengunjung yang hadir.

Majlis Pengumuman Keputusan Pemenang Pertandingan PCIRI’23 telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Zainab binti Othman, Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan menyampaikan hadiah johan kategori Super Senior berupa sijil dan plak johan, medal emas serta sijil penyertaan.

Semoga dengan kejayaan ini dapat memberikan motivasi dan inspirasi kepada pelajar – pelajar terutamanya pelajar dari Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif untuk lebih bersemangat untuk bersaing, menonjolkan potensi diri melalui bakat kreativiti dalam pertandingan seumpama ini.

Penulis:
Mohd Nafis Saad, Pensyarah Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak.
mohdn4491@uitm.edu.my