Pembentangan Akhir Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) UiTM 2023

Majlis Pembentangan Akhir Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) 2023 anjuran Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) telah diadakan pada 5 Oktober 2023. Majlis bertempat di Anjung Seri Budiman itu antara lainnya bertujuan sebagai platform perkongsian amalan terbaik dari Pusat Tanggungjawab (PTJ) terpilih di dalam UiTM. Pada kali ini sebanyak 14 PTJ telah terpilih sebagai finalis dan telah membuat pembentangan.

Seramai lima orang panel yang terlibat dalam penjurian iaitu YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor selaku ketua juri, YBhg. Prof. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, YBhg. Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam, Penolong Naib Canselor Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD), YBhg. Prof. Madya Ir. Dr. Juliana Johari, Penolong Naib Canselor Infostruktur, Jabatan Infostruktur (PPII) dan YBhg. Prof. Dr. Shahriman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor (Pengantarabangsaan), UiTM Global.

Setiap PTJ diberi masa selama 15 minit untuk membuat pembentangan yang memfokuskan kepada bidang tumpuan yang dipilih serta aktiviti dan pencapaian yang berkaitan sepanjang tahun 2022. Ia kemudiannya diikuti dengan 10 minit sesi soal jawab bersama juri. Penilaian adalah dibuat berdasarkan tiga kriteria iaitu proses, hasil dan pembentangan. Ia juga berdasarkan kepada elemen A-D-L-I (Approach, Deployment, Learning, Integration) dan Le-T-C-I (Level, Trend, Comparison/ Benchmark, Importance).

Pembentangan sesi pagi dimulai oleh Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (ICEPS). Ia diikuti oleh Fakulti Pendidikan, Fakulti Farmasi, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Cawangan Kedah, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan UiTM Cawangan Pulau Pinang. Pada sesi petang pula, pembentangan telah dibuat oleh

Pejabat Pendaftar, UiTM Cawangan Sarawak, Pejabat Bendahari, UiTM Cawangan Perak, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Sains Gunaan dan Kolej Pengajian Alam Bina. Dalam ulasan ketua juri di akhir sesi, beliau sangat berpuas hati dengan pembentangan yang dibuat oleh semua finalis. Beliau juga berharap agar semua PTJ dapat mengambil best practice yang dibentangkan oleh semua PTJ. Beliau juga berharap agar Majlis Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) diteruskan pada masa hadapan.