UiTM Cawangan Sarawak Merangkul Kemenangan Dalam Pertandingan V-MIIEX 2021

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah merangkul kemenangan dalam Pertandingan Virtual Melaka International Intelectual Exposition (V-MIIEX 2021) yang telah diadakan secara dalam talian pada 2 Julai 2021 hari (Jumaat) yang lepas anjuran Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.

V-MIIEX ialah pertandingan inovasi yang dianjurkan setiap tahun oleh UiTM Cawangan Melaka dengan tujuan untuk mengumpulkan idea dan inspirasi yang sesuai untuk keperluan pengkomersialan. Acara ini mewujudkan platform bagi para penyelidik untuk menjalin rangkaian, perkongsian dan peluang untuk berkolaborasi dengan industri.

Sekumpulan pensyarah yang terdiri daripada Puan Fatin Adilah binti Razali, selaku ketua kumpulan, Puan Shafinaz Lyana binti Abdul Talib, Puan Afaf Izzati Nafhah binti Radzi dan Puan Ting Hie Ling telah dinobatkan sebagai Best Design Panglima Award dengan tajuk projek mereka iaitu Fee-Fifo-Fumstock Valuation Board Game. Pemenang pingat perak pula ialah Encik Saifulrizan bin Norizan, Encik Suhardi bin Kram, Puan Abbylolita Sullah, Encik Donny Daniyal bin Man dan Luke anak Nikol dengan projek mereka yang bertajuk “Ergo Desk”.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemenang yang telah mengharumkan nama UiTM Cawangan Sarawak di atas kemenangan ini. Diharapkan anugerah ini dapat menjadi lonjakan aspirasi kepada warga UiTM Cawangan Sarawak dalam keperluan pengkomersialan pada masa hadapan.