UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Sertai Program Usr: UiTM – JKN Sabah 2023 Di Pulau Mabul, Semporna

TAWAU – Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah turut serta menjayakan Program Kesihatan dan Berkhatan – Reaching Out: University Social Responsibility (USR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah 2023 bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mabul, Daerah Semporna pada 1 Mac 2023 yang lalu.

Pertamanya, Program Reaching Out USR: UiTM – JKN Sabah telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Hjh. Rose Nani Mudin, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah. Barisan delegasi yang turut sama menjayakan program ini terdiri daripada ahli jawatankuasa pelaksana, pihak pengurusan dan para petugas UiTM Shah Alam, UiTMCSH Kampus Kota Kinabalu dan Kampus Tawau, JKN Sabah, Hospital Semporna, Pejabat Kesihatan Daerah Semporna, wakil-wakil dari Pertubuhan Penggerak Kebajikan dan Dakwah Islam Sabah (Sabah Relief), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Pasukan Perubatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bertemakan “Reaching Out To The Community”, program kolaborasi antara Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang UiTM Shah Alam dan BSMM Cabang UiTM Cawangan Sabah adalah merupakan inisiatif kesukarelawanan bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan seperti pemeriksaan, rawatan dan pendidikan kesihatan serta program berkhatan bersama pasukan perubatan JKN Sabah kepada komuniti minoriti pedalaman di Pulau Mabul yang tidak mempunyai fasiliti kesihatan dan seringkali menghadapi cabaran mendapatkan akses kesihatan. Perancangan progam ini telah dilaksanakan dengan teliti di bawah nasihat dan pemantauan rapat dari Pusat Kesihatan UiTM Shah Alam dan Unit Kesihatan UiTM Cawangan Sabah.

Turut hadir, YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UiTM, YBhg. Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Koordinator Kampus, UiTMCSH Kampus Tawau mewakili Rektor UiTM Cawangan Sabah, YBrs. Dr. Zaiton Nasir, Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, Guru Besar SK Pulau Mabul, Ketua Kampung serta masyarakat setempat Kampung Mabul dan Kampung Musuh, Pulau Mabul, Daerah Semporna, Sabah.