Program Pemindahan Ilmu (KTP) Bersama Komuniti Penternak Arnab di Felda Bukit Aping Barat

KOTA TINGGI, 10 Februari 2023 – Telah berlangsung Program Pemindahan Ilmu (KTP) bersama komuniti penternak arnab di Felda Bukit Aping Barat dan pengusaha D’Qaseh Grill Kitchen dari 10 hingga 11 Februari 2023.

Program ini adalah susulan daripada pemeteraian MoU antara UiTM dengan Ittihad Trading & Resources Sdn. Bhd pada Mei 2022. Seramai 16 orang anak Felda Bukit Aping Barat yang diketuai oleh Pengarah Urusan Ittihad, Encik Muhammad Nazri Bin Kasmen yang juga merupakan alumni UiTM Cawangan Melaka (UiTMCM) telah menyertai KTP selama 2 hari ini.

Sebanyak empat (4) sesi perkongsian ilmu dan khidmat runding telah dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan kepada penduduk Felda di situ termasuk:
– ‘Perancangan Strategik & SWOT Analisis Produk D’qaseh yang diusahakan oleh Penternak Arnab Felda Aping Barat, Dr Nur Hayati Abd Rahman, Timbalan Rektor PJI,
– ‘Pemasaran Digital’ yang dikendalikan oleh Dr Ummi Kalsum Hassian,
– ‘Strategi Pemasaran dan Kaedah-kaedah Promosi yang Efektif’ oleh Puan Nur Syuhada Muhammad selaku Ketua Projek dan
– ‘Perancangan Pelan Pemasaran & Penjenamaan’ dilaksanakan oleh Puan Aemillyawaty Abas.

Turut hadir ialah Pengurus Rancangan Felda Bukit Aping Barat, Encik Mohd Khairil Hafiz bin Mohd Nor dan Koordinator ICAN UiTMCM, Encik Soo Yew Phong.
Semoga semua peserta beroleh manfaat daripada perkongsian ilmu kali ini dan seterusnya dapat membangunkan projek penternakan serta produk berasaskan arnab di komuniti Felda demi meningkatkan sosial-ekonomi penduduk sekitar.