Program Mau’izah Siri Februari 2023 : Solat? Di Manakah Kita?

Mulai Februari 2023 Program Mau’izah anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI) kembali menemui warga UiTM secara bersemuka dan diadakan di premis PTJ masing-masing. Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah bersetuju untuk mengadakan program Mau’izah pada setiap Jumaat minggu Ke-4 setiap bulan.

Pada siri pertama, BHEI telah membawakan tajuk “Solat: Di manakah Kita?” yang telah disampaikan oleh YBrs. Ustaz Mohd Afiz Bin Hasan di BPPA. Tajuk ini dianggap sangat sesuai dibawakan sebagai pembuka tirai program Mau’izah. Ini kerana solat merupakan ibadah utama selepas kesaksian terhadap keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Tajuk ini menekankan kepentingan khusyuk dalam solat bagi tujuan meningkatkan nilai dan mutu solat kita ke arah mencapai kesempurnaan solat. Ustaz Mohd Afiz juga turut berkongsi amalan-amalan yang dapat meningkatkan khusyuk di dalam solat. Selain itu, perkongsian tajuk ini dapat meningkatkan kefahaman setiap staf akan kewajipan solat dan hukum mendirikan solat.

Solat perlu dipelihara dan dikerjakan dengan sempurna bagi memastikan ianya diterima oleh Allah SWT. Untuk itu, kita dituntut agar sentiasa belajar memperbaiki solat. Semoga ilmu-ilmu yang disampaikan dalam program Mau’izah dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua staf.