UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Kini Kembali Ceria

TAWAU, 17 OKTOBER 2022 (ISNIN): Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau kini kembali ceria dengan kemasukan pelajar baharu Sesi 1 2022/2023 Semester Oktober 2022 bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan secara bersemuka bermula 11 Oktober lalu.

Terdahulu, seramai 231 pelajar Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) yang terdiri daripada program Pra Diploma (Perdagangan) dan Pra Diploma (Sains) telah mendaftar masuk Kolej Kediaman Pelajar pada 2 Oktober. Tatatcara pendaftaran dirancang dengan rapi bagi memastikan faktor keselamatan, kesihatan serta kebajikan pelajar terjamin.

Begitu juga, pelaksanaan PdP secara bersemuka sepenuhnya di kampus turut menuntut pihak pengurusan universiti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghadapi sebarang cabaran atau isu yang akan timbul memandangkan negara masih di dalam Fasa Peralihan ke Endemik, COVID-19.

Dalam pada itu, selain keterujaan para pelajar dapat berada di dalam kampus, sesi PdP secara bersemuka juga menjadi cabaran awal kepada pelajar menempuh kehidupan baharu bergelar mahasiswa UiTM dan sudah pastinya jauh berbeza dengan alam persekolahan.

Kenneth Griffth J. Abun, pelajar Pra Diploma (Perdagangan) antara siswa yang pertama kali menjejak kaki ke UiTMCSH Kampus Tawau, mengakui sangat teruja dan seronok bertemu rakan-rakan baharu serta pensyarah.

“Semasa di bilik kuliah, pensyarah boleh menarik perhatian kami di dalam aktiviti pembelajaran kolaboratif secara langsung. Kami boleh belajar antara satu sama lain, membina idea masing-masing, dan menghasilkan keputusan yang lebih baik,” kata Kenneth.

Sementara itu, Caroline Liberatus berkata, semasa mendapat surat tawaran bagi melanjutkan pengajian Pra Diploma (Sains) UiTM, pada awalnya dia berbelah bagi kerana kedua ibu bapanya kurang bersetuju atas sebab tempoh masa yang perlu dilalui sebelum mengikuti program Diploma. Akan tetapi ia bukanlah alasan untuk tidak datang mendaftar diri.

“Saya dapat rasakan perbezaan yang ketara di kampus Tawau ini. Persaingan yang kuat sesama mahasiswa lebih-lebih lagi mereka dari tempat dan latar akademik yang berbeza,” tambahnya.

“Namun, saya akan berpegang teguh dengan matlamat saya iaitu sentiasa berusaha mengekalkan momentum yang cemerlang dalam akademik mahupun kepimpinan,” kata anak kelahiran Papar, Sabah tersebut.

Walaupun teruja menikmati suasana kampus yang kembali ceria berbanding sebelum ini, adalah diingatkan agar para pelajar tetap berwaspada dan berhati-hati dalam mematuhi SOP bagi mengelak risiko penularan jangkitan COVID-19.