UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Anjurkan Bengkel JD-Myportfolio Dan Taklimat Pengurusan Rekod

TAWAU, 5 OGOS 2022: Bengkel pemurnian penyediaan deskripsi tugas (JD)-MyPortfolio dan taklimat pengurusan rekod pelupusan telah diadakan bertempat di Bangunan Pustaka Ilmu, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau pada 4 hingga 5 Ogos 2022 yang lalu. Taklimat bengkel pemurnian penyediaan JD-MyPortfolio telah disampaikan oleh Penolong Pendaftar, Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Sabah, Puan Nurul Huda Roslan. Manakala, taklimat pengurusan rekod pelupusan telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Sabah, Encik Romi Rampun@Ramlan yang melibatkan staf pentadbiran dan staf akademik UiTMCSH Kampus Tawau.

Sebagaimana yang sedia maklum, MyPortfolio adalah dokumen rujukan rasmi yang mengandungi maklumat-maklumat penting berkaitan organisasi serta penjelasan mengenai deskripsi tugas, fungsi, aktiviti, prosedur dan proses kerja yang dijadikan panduan dalam menjalankan tugas bagi sesuatu jawatan.

Selain daripada itu, pengurusan rekod konvensional dan elektronik UiTM merupakan sumber maklumat dan dokumen bukti dalam melaksanakan urusan rasmi meliputi pewujudan, penggunaan, penyelenggaraan, pelupusan dan arkib rekod di setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ).

“Setiap rekod UiTM hendaklah diuruskan dengan cekap dan teratur, mengikut piawai dan panduan yang dikeluarkan oleh Arkib Negara Malaysia. Sehubungan itu, prinsip dan teras yang didokumenkan di dalam Dasar Pengurusan Rekod UiTM ini perlulah dipatuhi oleh setiap staf di setiap PTJ”. kata Timbalan Ketua Pustakawan.

Justeru, bengkel dan taklimat yang diadakan sedikit sebanyak telah dapat menjelaskan cara penyediaan JD-MyPortfolio serta pengurusan rekod kepada semua staf UiTMCSH Kampus Tawau.

Pada sesi penutupan, Puan Nurul Huda Roslan turut berpesan kepada semua yang terlibat tentang faedah program ini diadakan dan berharap agar semua sentiasa kekal bermotivasi dalam meningkatkan kualiti kerja di dalam bidang tugasan masing-masing.

“Adalah diharapkan penyediaan deskripsi tugas dan pembangunan MyPortfolio akan berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dan semoga kita berjumpa lagi pada sesi yang berikutnya”, tambahnya lagi.

Sebelum itu, telah diadakan pada hari pertama program iaitu majlis ringkas bacaan ikrar bebas rasuah dan penyerahan bendera Malaysia oleh YBhg. Rektor UiTM Cawangan Sabah, Datuk Prof. Madya Dr. Haji Abdul Kadir bin Haji Rosline, kepada Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Koordinator Kampus, UiTMCSH Kampus Tawau sempena sambutan bulan kemerdekaan 2022.