Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Rai Semarak Cinta Merdeka

08 Ogos 2022 – Shah Alam, Tibanya Ogos tidak menjadi asing lagi bagi semua rakyat Malaysia meraikan Hari Kebangsaan dan seterusnya Hari Malaysia pada bulan berikutnya. Tidak ketinggalan juga Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM Shah Alam, komited dan bersemangat dalam menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan dengan pembukaan sambutan melalui nyanyian lagu patriotik diiringi kibaran jalur gemilang yang melibatkan seluruh warga BHEP bertempat di Kolej Mawar UiTM Shah Alam. Majlis yang dihadiri oleh kurang lebih 200 warga BHEP ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UiTM pada jam 10 Pagi.

Dalam ucapannya, YBhg. Prof. TNC HEP mengatakan program yang menerapkan nilai-nilai patriotisme seperti ini perlu sentiasa diteruskan di samping penganjuran pelbagai aktiviti kemerdekaan yang dapat menarik minat serta memberi nilai tambah kepada mahasiswa juga komuniti setempat. Selari dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, begitu juga nilai yang cuba diterapkan kepada warga UiTM khususnya BHEP UiTM dalam memastikan warga HEP sentiasa teguh bersama dalam mengekalkan kemerdekaan yang kita kecapi kini.

Pelbagai program kemerdekaan telah dirancang oleh seluruh Jabatan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam sebagai menyahut ucapan Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor HEP UiTM untuk menerapkan nilai jati diri yang tinggi dalam kalangan mahasiswa dan staf UiTM khususnya HEP UiTM antaranya seperti Konvoi Semarak Jiwa Merdeka HEP, Dialog HEP Prihatin Edisi Kemerdekaan, Pertandingan Hiasan Kemerdekaan Terbaik Jabatan BHEP, dan banyak lagi dalam menjayakan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat Hal Ehwal Pelajar UiTM.

Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022 peringkat Hal Ehwal Pelajar UiTM bakal diadakan pada pertengahan September 2022, disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM. Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan, antaranya disamping pengumuman pemenang bagi pertandingan yang dianjurkan bermula pada awal sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022.