Bengkel Asas Perakaunan Perniagaan

Bengkel Asas Perakaunan Perniagaan ini telah dilaksanakan selama 3 hari 2 malam iaitu pada 29 hingga 31 Julai 2022. Bengkel ini telah berlangsung di Rainbow Paradise Beach Resort, Tanjung Bungah. Bengkel ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang telah dipimpin oleh MS Global Venture. Program ini juga dilaksanakan dengan hasil kerjasama tiga orang pensyarah Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Pulau Pinang dan seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Mara, Cawangan Kedah sebagai penceramah dan fasilitator. Seramai 40 peserta usahawan dari pelbagai bidang perniagaan telah mengikuti bengkel ini.

Perakaunan merupakan perkara asas kepada apa jua jenis perniagaan. Tanpa perakaunan, kita tidak tahu adakah perniagaan kita ini memperoleh untung atau rugi. Pendek kata, kita berniaga tanpa halatuju sebenar “ala-kadar” oleh kerana tidak tahu sebarang informasi perniagaan kita. Untuk membantu perniagaan atau syarikat kecil sederhana (PKS), modul bengkel ini telah dihasilkan untuk mereka yang tiada pengetahuan perakaunan supaya dapat memahami proses-proses perakauan bagi penyediaan laporan kewangan.

Antara objektif utama program ini adalah memberi pengetahuan asas penyediaan rekod perakaunan perniagaan kepada usahawan bumiputera. Mengetahui konsep dan prosedur perakaunan perniagaan serta proses teknikal merekod maklumat perakaunan secara terperinci. Selain itu, program ini juga bertujuan mendedahkan peserta kaedah menganalisa laporan perakaunan dalam merancang strategi perniagaan yang lebih berkesan.

Selain daripada mengikuti ceramah yang di sampaikan oleh penceramah, aktiviti riadah berkumpulan turut dijalankan bagi mengeratkan lagi ukuwah dan jaringan perniagaan di kalangan usahawan. Penutup bengkel ini di sudahi dengan majlis penyerahan sijil kepada semua peserta.