Jabatan Rakan Kerjasama Strategik (DSP) UiTM Global dan Pejabat TNCPI UiTM Teroka Peluang di Universiti Terkemuka Eropah

Delegasi UiTM telah berjaya mengadakan lawatan kerja rasmi ke beberapa negara di bumi Eropah. Lawatan global ini bermula pada 16 Julai hingga 26 Julai 2022 bertujuan untuk merancang strategi dalam meningkatkan jaringan global bersama dengan universiti terkemuka dunia. Delegasi ini diketuai oleh Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan & Inovasi (TNCPI), YBhg. Profesor Ts. Dr Norazah Abd Rahman dengan diiringi oleh Profesor Dato’ Abu Bakar Abdul Majeed, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Profesor Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar, Pengarah Department of Strategic Partnership (DSP), UiTM Global dan Profesor Dr Nooritawati Md Tahir, Pengarah Neksus Penyelidikan (ReNeU). Turut bersama ialah wakil Smart Manufacturing Research Institute (SMRI), Profesor Ir. Ts. Dr.-Ing. Yupiter Harangan Prasada Manurung dan Dr Mohd Shahriman Adenan.

Lawatan yang berfokus di Switzerland, Sepanyol dan United Kingdom (UK) ini telah memperolehi beberapa dapatan merangkumi kolaborasi penyelidikan dan akademik, majlis menandatangani MoU/LoI, mesyuarat penghantaran kertas cadangan penyelidikan, pelantikan profesor pelawat, penghantaran mobiliti pelajar dan seumpamanya. Perincian lokasi, dapatan dan gambar lawatan yang berimpak ini adalah seperti berikut:

1. Majlis Dialog Bersama Kedutaan Malaysia di Berne, Switzerland – Satu projek kerjasama berprestij `Anjung Malaysia’ dipersetujui di antara Kedutaan Switzerland dan Kolej Alam Bina (CBE) UiTM telah.

2. Kerjasama bersama HES SO University, Sion, Switzerland – Majlis Menandatangani Non-Disclosure Agreement (NDA), mesyuarat penghantaran kertas cadangan penyelidikan, pelantikan profesor pelawat, penghantaran mobiliti pelajar dan staf, serta perundingan MoU.

3. Kolaborasi penyelidikan bersama Syarikat Meltio SL, Poligono Industrial Los Rubiales, Calle 3 Naves, Linares, Jaen Sepanyol- Mendapatkan dana penyelidikan padanan antarabangsa Malaysia-Spain Innovating Programme (MySIP), menandatangani MoU bersama sebagai kolaborasi penyelidikan, sesi menandatangani Surat Niat (Letter of Intent, LoI) bagi permohonan MySIP.

4. Kerjasama akademik di WAAM3D Ltd, Thornton Chase, Milton Keynes, MK14 6FD United Kingdom – Kerjasama akademik dan penyelidikan bersama Cranfield University dan WAAAM3D Limited, dan menandatangani LoI.

5. Perbincangan dan potensi kolaborasi di Pejabat Pengarah Education Malaysia (EM) London, United Kingdom – Mendapatkan maklum balas staf berkaitan perkembangan terkini dan isu semasa serta cabaran pengajian masing-masing, strategi meningkatkan jaringan global bersama-sama dengan universiti elit, bentuk bantuan dalaman meliputi insentif geran sokongan penyelidikan dan skim penerbitan serta geran yang ditawarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia.

Sesungguhnya dapatan lawatan ini memberi impak signifikan dalam meningkatkan ketampakan UiTM di mata dunia selari dengan agenda Globally Renowned University (GRU) 2025: Menyerlahkan Potensi Membentuk Masa Hadapan. Sebagai jabatan yang memainkan peranan penting untuk menjalin kerjasama bersama universiti 300 terbaik dunia di UiTM, DSP terus komited dalam merealisasikan agenda global ini melalui pembudayan kerjasama dan perkongsian UiTM di seluruh dunia, penerokaan saintifik dan pembangunan teknologi sejajar aspek teras identiti UiTM sebagai sebuah organisasi pendidikan yang komprehensif di Malaysia.