UiTM Rai Kepulangan Wira Atlet Angkat Berat Negara

SHAH ALAM, 6 OGOS 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sama-sama menyambut dan meraikan kepulangan wira atlet UiTM Mohamad Aniq Kasdan yang telah memenangi pingat emas dalam acara Angkat Berat yang berlangsung di Sukan Komen Komanwel Birmingham 2022. Turut hadir meraikan kepulangan wira emas atlet UiTM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Zamri Abd Kahar, Timbalan Pengarah Pusat Sukan UiTM serta beberapa pegawai sukan dari Pusat Sukan UiTM Shah Alam. Sambutan yang dibuat adalah untuk memberi penghargaan kepada wira emas atlet UiTM yang bukan sahaja mengharumkan nama negara bahkan imej UiTM di persada global, selari dengan hasrat UiTM untuk dikenali di seluruh dunia.

Mohamad Aniq yang merupakan pelajar Diploma Jurusan Pengurusan Sukan Pengajian luar kampus (FSR) yang melibatkan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) berjaya menghadiahkan emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan memenangi acara Angkat Berat 55 kilogram (kg) dengan angkatan keseluruhan sebanyak 249kg. Selain itu, beliau juga berjaya memecahkan rekod Sukan Komanwel dengan angakatan berat sebanyak 142kg.

Beliau antara atlet termuda mewakili Malaysia pada edisi Sukan Komanwel kali ini juga telah memenangi pingat di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 yang diadakan di Tashkent, Uzbekistan, di mana beliau telah menyumbangkan pingat perak dalam acara Angkat Berat 55kg. Malah, beliau juga turut menyumbang pingat gangsa di Kejohanan Sukan  Asia Tenggara (Sukan SEA) 2021 yang telah berlangsung di Hanoi, Viernam pada Mei yang lalu.

Sempena pencapaian beliau yang telah menaikkan nama dan imej UiTM di persada global, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor menyerahkan hadiah sumbangan berjumlah RM1000 sebagai tanda penghargaan dan menyuntik semangat agar beliau kekal berjuang dan terus berusaha untuk merangkul kejuaraan seterusnya di masa akan datang.