UiTM Cawangan Sabah JUARA Perlawanan Bola Jaring di SUKJA 2023

KOTA KINABALU, 11 Ogos 2023 – Pasukan Bola Jaring UiTM Cawangan Sabah telah menjadi JUARA pada julung kalinya dalam perlawanan Bola Jaring SUKJA 2023 di Kompleks Sukan Tun Adnan, Yayasan Sabah. Pasukan Bola Jaring yang terdiri dari 14 pemain yang merupakan staf UiTM Cawangan Sabah dari pelbagai peringkat umur (20-50 tahun) dan gred jawatan telah memainkan peranan masing-masing semasa perlawanan dan bekerjasama dalam satu pasukan bak kata pepatah bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Jurulatih Pasukan Bola Jaring UiTM Cawangan Sabah, Cik Farhana Yaakub menyatakan bahawa kejayaan kali ini merupakan rezeki kurniaan Allah SWT dan usaha pasukan yang bertungkus lumus menjalani latihan selama sebulan sebelum tarikh perlawanan berlangsung. Semangat kesukanan yang tinggi oleh setiap pemain dan strategi perlawanan yang mantap antara kunci utama kemenangan pada kali ini.

SUKJA 2023 merupakan Sukan Antara Jabatan telah berlangsung bermula 7 Julai hingga 18 Ogos 2023 di Kota Kinabalu Sabah. Selain Bola Jaring, pelbagai sukan yang dipertandingkan seperti Bola Sepak, Badminton, Bowling, Bola Tampar, Memanah, Tenis, Futsal, Tarik Tali, Ping Pong, dan Lontar Peluru. Antara Jabatan yang menyertai SUKJA 2023 adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu dan Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Sabah (INTAN).