MASMED UiTM Cawangan Pahang Menyertai Maybank Business Proposal Challenge 2023, Sokong PMKS dan MUN 2023

Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang sempena Minggu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Minggu Usahawan Negara (MUN) 2023 anjuran bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang (BPEN) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia) yang merupakan agensi penyelaras pusat di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah berlangsung dengan jayanya bermula 23 Jun sehigga 25 Jun 2023, bertempat di Perkarangan Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang.

Pada 23 Jun 2023, Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED), UiTM Cawangan Pahang, telah menyertai karnival ini dengan menghantar dua pasukan ke pertandingan Maybank Business Proposal Challenge 2023. Pada tahun ini peserta adalah terdiri daripada seluruh Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) Pantai Timur. Karnival yang di adakan setiap tahun ini juga menghimpunkan usahawan dan pelbagai produk Industri Kecil & Sederhana (IKS) dari seluruh Pantai Timur.

Pasukan pertama UiTM Cawangan Pahang yang terdiri daripada Fakulti Perladangan dan Agroteknologi dengan projek Penanaman Golden Melon secara fertigasi lestari, telah merangkul tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM500.00 berserta sijil penyertaan. Pasukan ini telah dibimbing oleh dua orang kaunselor iaitu Encik Mohamad Amir Shah Yusop dan Puan Anisah Mohammed yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi. Tempat pertama dan kedua telah di menangi oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muadzam Shah Pahang. Pasukan kedua dari UiTM Cawangan Pahang pula dibimbing oleh dua orang kaunselor iaitu Encik Muhammad Zahran Abd Rahman, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan Encik Abdul Fattah Syzeli Ismail, Pengarah Urusan AFSI Group Sdn. Bhd. Pasukan ini terdiri daripada pelajar-pelajar semester 3 Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat dan telah berjaya memperoleh saguhati dengan membawa pulang hamper dan sijil penyertaan. Tajuk pembentangan perancangan perniagaan mereka adalah Model Perkongsian Pintar: PATIN Menjana Pendapatan Organisasi dan Kebolehpasaran Graduan IPT.

Penyertaan pelajar dalam program sebegini amat digalakkan kerana program ini berjaya memberi peluang mempelajari kaedah berkomunikasi dengan baik dan efektif melalui penyediaan dan pembentangan perancangan perniagaan yang telah dibangunkan. Proses dan peluang ini akan membantu pelajar memperbaiki kemahiran komunikasi dan persembahan mereka yang sememangnya sangat penting dalam dunia perniagaan. Kemahiran ini berguna tidak hanya dalam pertandingan, malah dalam kerjaya perniagaan dan kehidupan pelajar di masa akan datang.

Pertandingan ini juga telah meningkatkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam mencipta idea perniagaan yang unik dan mengenalpasti strategi untuk berjaya di pasaran. Proses berfikir secara kreatif dan mencari penyelesaian inovatif untuk mencipta peluang perniagaan akan membantu pelajar memperluas pandangan dan daya berfikir pada aras tinggi sebagai persedian berdepan dengan dunia hari ini yang semakin mencabar setelah mereka bergraduat kelak. Selain itu, peserta dapat melihat secara langsung bagaimana usahawan berinteraksi dengan pelanggan, mempromosikan produk, dan menjalankan perniagaan mereka. Pengalaman berharga ini memberi kefahaman yang lebih mendalam terhadap pelajar tentang realiti dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan, serta keupayaan untuk beradaptasi dan berinovasi dalam dunia perniagaan secara realistik.

Pengalaman praktikal secara langsung sepanjang menghadiri program ini turut meningkatkan kemahiran pelajar dalam menjalankan perniagaan. Mereka dapat melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti merancang dan menyiapkan booth pameran, berinteraksi dengan pelanggan dan peniaga, menjual produk atau perkhidmatan, dan melakukan pemasaran produk. Peluang yang sangat berharga ini membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan teori keusahawanan yang telah dipelajari dalam konteks sebenar dan memperoleh kemahiran praktikal yang diperlukan dalam dunia perniagaan sebenar.

Perkongsian oleh usahawan berjaya juga merupakan salah satu aktiviti menarik yang telah dijalankan oleh pihak penganjur. Sesi ini melibatkan perkongsian pengalaman daripada usahawan yang telah berjaya menjalankan perniagaan dan mereka merupakan individu yang mempunyai jatidiri dan semangat yang kuat untuk berjaya dalam industri yang diceburi. Pelajar berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan para usahawan dan mendengar sendiri pengalaman berkaitan kejayaan serta kegagalan yang mereka hadapi. Perkara ini memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan kelak.

Usahasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan kerajaan Negeri Pahang dalam menganjurkan program seperti ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam usaha memperkasakan peranan keusahawanan di Malaysia. Keusahawanan dan inovasi merupakan dua elemen penting yang saling berkait dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan transformasi negara. Negara maju telah meletakkan keusahawanan dan inovasi sebagai prasyarat penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan, tidak ketinggalan juga negara kita Malaysia. Tidak di nafikan, ianya bukan suatu usaha yang mudah, namun cita-cita ini mampu di zahirkan jika mempunyai iltizam dan kesungguhan yang tinggi ke arah merealisasikan impian tersebut.