Program Pembangunan Kerjaya Pelajar, “MIID Meet & Membership Awareness Program” Bidang Senibina Dalaman

PUNCAK ALAM, 6 Julai 2023 – Program Pembangunan Kerjaya Pelajar, “MIID Meet & Membership Awareness Program” telah dianjurkan oleh barisan jawatankuasa pensyarah dan alumni dari Bidang Senibina Dalaman yang dipengerusikan oleh Ts. Norji Nasir. Program ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri Komuniti & Alumni (ICAN), Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan mengenai kewujudan penubuhan Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia / Malaysian Institute of Interior Designers (MIID) yang mewakili profesion reka bentuk dalaman di Malaysia. Program MIID Meet & Membership Awareness Program dijalankan bermula jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

UiTM Puncak Alam menerima kunjungan hormat oleh IDr. Shafina Ibrahim, selaku ‘Deputy President of MIID Council’ untuk tahun 2022 – 2024. Beliau dijemput sebagai ‘speaker’ untuk memberikan pengisian mengenai fungsi Malaysian Institute of Interior Designers (MIID) dalam industri senibina Dalaman yang perlu diketahui oleh bakal-bakal graduan Bidang Senibina Dalaman. IDr Shafina juga merupakan alumni Bidang Senibina Dalaman yang sangat aktif menyumbangkan tenaga dan kepakaran beliau untuk membantu pelajar-pelajar senibina dalaman amnya. Beliau turut ditemani oleh MIID President, Mr. Ooi Boon Seong, dan juga IDr. Mohamad Faisal Ghazali, merangkap ‘MIID Past President on council MIID, menerangkan kepada pelajar-pelajar yang hadir mengenai sejarah penubuhan MIID, perincian latarbelakang pertubuhan MIID, syarat-syarat menjadi ahli dan visi MIID dalam membangunkan komuniti perekabentuk dalaman yang sofistikated dan berdaya saing. Objektif program ini dirancang sebagai platform untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran berbentuk ilmiah, kecekapan dan kematangan kepada pelajar senibina dalaman setanding dengan pelajar luar dan agar pelajar lebih peka dengan tahap tanggungjawab profesional, teknikal, pengurusan dan kawal selia serta kewajipannya sambil mengamalkan profesionnya sebagai Pereka Dalaman dalam Malaysia.

Seramai 100 orang pelajar Bidang Senibina Dalaman telah menghadiri program yang diadakan di Dewan Kuliah Kolej Alam Bina. Pihak UiTM Cawangan Selangor juga berbesar hati menerima kunjungan pelajar-pelajar luar antaranya dari Universiti Saito, Universiti Segi dan Universiti Tunku Abdul Rahman bersama-sama beberapa orang pensyarah pengiring. Penganjuran program pembangunan kerjaya pelajar ini dilaksanakan bagi mencapai tujuan dalam membantu pelajar-pelajar tahun akhir khususnya mendapatkan pengetahuan mengenai skop-skop industri senibina dalaman yang tersedia untuk diceburi dalam bidang professional dan juga membuka peluang kerjaya melalui aktiviti talk-show/diskusi/ceramah penyampaian oleh pihak majikan/alumni yang telah berjaya melebarkan empayar perniaagan di Bidang Senibina Dalaman.