UiTM Cawangan Pulau Pinang Bantu Pelajar Minat Sains Menerusi Eksplorasi Sains “Fun-Task-Stick” 2023 Di SMK Sungai Acheh

24 Jun 2023, SMK Sungai Acheh, Nibong Tebal – Jabatan Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan satu program bagi menggalakkan minat terhadap Sains dalam kalangan pelajar yang dinamakan Sains ke Desa bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Seramai 300 orang pelajar dan 70 orang guru telah menyertai program ini. Pelbagai aktiviti STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) menarik telah diadakan antaranya ialah Eksplorasi Sains Funtaskstick, Siri Penyiasat Kecil, pertandingan membina jambatan, pameran STEM dan pameran misi akademik. Kesemua aktiviti ini adalah satu pendekatan pendidikan yang mendorong pelajar untuk mengaplikasikan konsep dan prinsip Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik dalam situasi dunia nyata. Aktiviti-aktiviti STEM di sekolah ini membolehkan pelajar melibatkan diri dalam proses pemikiran saintifik, membuat pemerhatian, mengumpul data dan membuat hipotesis secara berkumpulan. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan keyakinan dan minat pelajar dalam subjek Sains.

Seramai 60 pelajar tingkatan 4 telah terpilih untuk menyertai pertandingan Eksplorasi Sains Fun-Task-Stick yang menggabungkan kecergasan fizikal dan ilmu pengetahuan untuk menyelesaikan permasalahan Sains di stesen-stesen yang telah disediakan. Antara aktiviti yang perlu diselesaikan oleh setiap kumpulan ialah Cabaran HAKA bertemakan STEM, Cabaran Dart, Cabaran Jigsaw Puzzle Alat Pemadam Api, Cabaran Teka Silang Kata, Cabaran Model Alat Perlindungan Diri, Cabaran Cari Kata dan Cabaran Susun Perkataan yang kesemuanya bertemakan Kaedah Saintifik.

Menurut seorang guru, Encik Faizal Saad dari SMK Sungai Acheh berkata aktiviti ini sangat menarik dan mampu memupuk minat peserta mempelajari Sains dengan kaedah yang lebih menarik dan dinamik. “Alhamdulillah semua murid kami suka dengan aktiviti yang pihak UiTM Cawangan Pulau Pinang sediakan khususnya Fun Task Stick. Semoga peluang dan kerjasama seperti ini akan dapat diberikan lagi pada kami di SMK Sungai Acheh ini”- Cikgu Faizal Saad. Semoga usaha Jabatan Sains Gunaan ini sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada semua pelajar untuk meminati mata pelajaran Sains, memahami kepentingan sains dalam kehidupan seharian dan memilih laluan Sains dan Teknologi untuk menyambung pengajian kelak.