Transformasi Melalui Dialog: Maklumbalas terhadap Model Graduan UiTM di Pemukiman Majlis Perwakilan

Selasa, 1hb Mac 2024. Pihak Institut Kepimpinan Pelajar [IKP] Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah berkesempatan memberi taklimat berkenaan dengan Model Graduan UiTM [MGU] pada sesi Program Pemukiman Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA Sesi 2023/2024 yang diadakan di Kampus Puncak Alam pada 1 Mac 2024. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Alwi Mohd Yunus, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) kepada semua para pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar dari seluruh kampus UiTM yang telah dilantik hasil dari proses pilihanraya kampus yang diadakan baharu ini.

Tujuan sesi taklimat ini ialah untuk mendapatkan maklumbalas dan pandangan dari para pemimpin pelajar UiTM berkenaan dengan Model Graduan UiTM (MGU) yang telahpun melalui frasa awal pembangunannya. Model Graduan UiTM ini juga turut dinyatakan sebagai salah satu agenda dalam sesi Amanat Naib Canselor pada 9 Februari 2024 oleh Naib Canselor UiTM.

Taklimat ini bertujuan memberikan penjelasan dan keterangan mengenai komponen asas pembentukan MGU yang dibina berdasarkan pelbagai dokumen polisi kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi, Dokumen Perancangan Strategik UiTM 2025 termasuklah konsep MADANI. MGU ini telah melalui beberapa siri bengkel termasuk dengan kumpulan Pakar Rujuk UiTM serta pemegang taruh dari kalangan pensyarah UiTM sendiri. Ia akan diperluaskan lagi ke semua kategori pemegang taruh sama ada dari kalangan Alumni UiTM, mahupun para pelajar sendiri bagi membolehkan MGU ini benar benar ampuh dan diterima serta diperakui oleh pelbagai pihak.

Menurut Dr Alwi, MGU ini menjadi asas kepada pembentukan graduan UiTM dari segenap segi mengikut jalur perspektif Hal Ehwal Pelajar [HEP UiTM] dalam konteks akhlak, sahsiah, ilmu, daya saing, patriotisme, intelektual, kesukarelawanan, ketrampilan dan kecergasan holistik yang berpaksikan Usaha-Taqwa-Mulia atau dikenali sebagai UTAMA.

Dalam usaha untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP), telah mengumumkan inisiatif yang menggembirakan. Beliau menyatakan bahawa semua modul dan program di Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM, serta yang dilaksanakan oleh mana-mana Pusat Tanggungjawab di HEP, akan dipetakan kepada Model Graduan UiTM (MGU). Model Graduan UiTM adalah satu panduan yang jelas yang memetakan kriteria-kriteria yang perlu dipenuhi oleh modul dan program pembangunan pelajar atau kepimpinan pelajar. Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa perancangan dan pelaksanaan program-program tersebut mematuhi standard yang ditetapkan oleh universiti.

Menurut Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, langkah ini penting kerana ia memastikan bahawa pengalaman pembelajaran pelajar di UiTM berada pada tahap yang terbaik. Dengan memastikan bahawa semua modul dan program dipetakan kepada MGU, universiti dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam penawaran pendidikan mereka. Satu aspek penting dari inisiatif ini adalah untuk memastikan bahawa pelajar menerima pembangunan yang holistik dan komprehensif sepanjang pengajian mereka di UiTM. Ini termasuk pembangunan akademik, kemahiran insaniah, kepimpinan, dan juga persediaan untuk pasaran kerja. Ia bagi mengelakkan pertindihan kriteria dan komponen disamping dapat menyelaras modul atau aktiviti dan program pembangunan pelajar  agar terarah kepada MGU ini. Dengan cara itu, semua modul dan program akan lebih terarah, penggunaan sumber dan kos dapat dioptimakan manakala impak dan keberhasilan sesuatu program dapat diukur keberkesanannya.

Sepanjang sesi taklimat diadakan, banyak persoalan dan penjelasan mengenai kandungan dan kepentingan MGU ini dapat diperincikan kepada pemimpin mahasiswa yang hadir. Beberapa komponen seperti aspek adab dan kemenjadian mahasiswa diberi tumpuan penuh selaras dengan objektif MGU untuk melahirkan graduan yang berkualiti dan terjaga sahsiahnya. Selain dari sesi taklimat bersemuka ini, para pemimpin mahasiswa yang hadir turut diminta untuk memberi maklumbalas dalam talian terhadap setiap elemen yang ada dalam MGU.  Hasil maklum balas ini akan digunakan bagi menambahbaik dan memperhalusi lagi pembentukan Model Graduan UiTM ini.

Penulis Utama: Dr Alwi Mohd Yunus
Penulis Bersama: Pn Zaiha Ahmad, Dr Ezza Rafedziawati Kamal Rafedzi, Nordiana Ibrahim, Datuk Ts Dr Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Najihah Azmi, Ts. Nor Azlin Binti Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman