Inovasi Pendidikan: Integrasi Modul Aspirasi dengan Model Graduan UiTM

Pada 6 Januari 2024, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melaksanakan ujian modul yang penting, Modul Aspirasi UTAMA [Modul Aspirasi Usaha Taqwa Mulia], di seluruh kampus UiTM. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan holistik mahasiswa yang bersemangat, memiliki jati diri yang kukuh, dan nilai kepimpinan yang efektif.

Modul ini dikembangkan selaras dengan Model Graduan (MGU) UiTM, yang merupakan panduan menyeluruh bagi pembangunan mahasiswa. Setiap kandungan modul, yang merangkumi Enam Aspirasi, telah dipetakan kepada komponen pembangunan mahasiswa dalam MGU UiTM. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa mahasiswa UiTM memperoleh pengalaman pembelajaran yang menyeluruh, menekankan nilai-nilai kepimpinan dan semangat jati diri.

Modul Aspirasi UTAMA juga merupakan satu langkah menuju pencapaian matlamat strategik UiTM 2025, yang bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang menepati USAHA TAKWA MULIA. Mahasiswa yang dilahirkan dari inisiatif ini dijangka memiliki pemikiran global dan sikap yang bersifat rumpun, sesuai dengan arus semasa dunia.

Antara objektif utama Modul Aspirasi UTAMA adalah memberi pemahaman kepada mahasiswa melalui penerokaan dimensi USAHA-TAKWA-MULIA, memantapkan sistem nilai dalam pemikiran dan kepimpinan, serta memberi ruang pelaksanaan kepada tindakan berasaskan pengetahuan dalam sistem negara demokrasi.

Modul ini menyusun Enam Aspirasi, yang merangkumi:

Modul ASAS DNA UiTM
Modul Celik Fikir
Modul Kesihatan Mental
Modul Asas Keselamatan Negara
Modul Jiwa UiTM
Modul Kecemerlangan dan Kemandirian Mahasiswa

Diharapkan bahawa melalui Modul Aspirasi UTAMA, mahasiswa UiTM akan dilengkapi dengan pengetahuan, kecekapan, dan nilai-nilai yang diperlukan untuk menjadi pemimpin yang efektif dan berdaya saing dalam era globalisasi ini. Inisiatif ini menegaskan komitmen UiTM untuk memastikan pengalaman pembelajaran yang terbaik bagi mahasiswanya, serta membangunkan individu yang berwawasan untuk masa depan yang lebih baik.

Ujian Modul Aspirasi UTAMA di Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah dijalankan dengan sepenuhnya melalui pelbagai platform, menerusi sesi bersemuka dan dalam talian menggunakan aplikasi “BHEP Online Open Module” (BOOM HEP). Modul ini diperuntukkan untuk mahasiswa Semester 1 hingga Semester 3 dari pelbagai program pengajian di seluruh fakulti dan cawangan UiTM di seluruh Malaysia, dengan jumlah keseluruhan peserta mencapai 1089 orang.

Pelaksanaan ujian ini turut diperkukuhkan dengan kerjasama daripada para fasilitator dan pegawai Unit Kepimpinan Pelajar di setiap cawangan, serta sokongan daripada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM cawangan dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di setiap fakulti. Ujian ini bertujuan untuk menilai keberkesanan Modul Aspirasi UTAMA dari pelbagai aspek, termasuk pengurusan program, pelaksanaan kandungan, penglibatan mahasiswa, maklum balas, serta aktiviti dan penilaian dalam talian.

Keputusan daripada ujian ini akan membantu dalam merancang langkah-langkah penambahbaikan, termasuk penyelenggaraan “Training of Trainers” (ToT) bagi modul ini, penambahan bilangan fasilitator, peningkatan kandungan dalam platform BOOM HEP, serta peningkatan proses kerja pelaksanaan modul. Matlamatnya adalah untuk memastikan modul ini dapat dilaksanakan dengan lebih efektif pada semester yang akan datang pada bulan Mac 2024.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi, turut menghadiri beberapa lokasi pelaksanaan ujian di Kampus Puncak Alam dan Shah Alam bagi menyaksikan proses pelaksanaan modul ini. Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar, Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus, bersama Ketua Unit Kepimpinan Pelajar dan pentadbir UiTM dari seluruh cawangan turut berada di lokasi ujian untuk memantau pelaksanaan modul tersebut.

Penulis Bersama : Dr Alwi Mohd Yunus, Pn Zaiha Ahmad, Dr Ezza Rafedziawati Kamal Rafedzi, Nordiana Ibrahim, Hasrol Jono, Najihah Azmi, Ts. Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman