UiTM Juara Pertandingan Capture The Flag (CTF)

Putrajaya, 9 Mac 2024 – Pasukan CH1P1CH4P4 telah dinobatkan sebagai juara pertandingan rENTAS CTF 2024. Pasukan ini yang diwakili oleh Wan Ikhmal Hakim Bin Wan Ahmad Tajudin, Sarjana Muda Sains Ukur Dan Geomatik (Kepujian), Nur Nayli Athirah Binti Zaini dan Nor Najwa Syauqina Binti Nizali masing-masing dari Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Pengkomputeran Netsentrik. membawa pulang wang tunai sebanyak RM2100.

Pada pusingan akhir yang berlangsung selama 6 jam bertempat di UNITEN, Putrajaya, empat pasukan dari UiTM telah berjaya mendapatkan tempat di tangga 10 teratas dari 18 IPTA dan IPTS yang menyertai pertandingan ini. Pasukan S4MB4L telah mendapat di tempat ke-3 dengan membawa pulang wang tunai sejumlah RM900 dan telah diwakili oleh Muhammad Safiy Haikal Bin Mohd Fauzi, Muhammad Nur Arif Bin Muhammad Asri dan Fikri Hanif Bin Idris dari program Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Rangkaian Komputer. Manakala, kumpulan R3BUNG mendapat tempat ke-7 dan kumpulan S4NT41 menduduki tempat ke-8 dengan masing-masing membawa pulang wang bernilai berjumlah RM150.

   

rawSEC merupakan sebuah komuniti keselamatan siber di Malaysia telah menganjurkan satu pertandingan yang dikenali sebagai rENTAS CTF dengan kolaborasi bersama EliteGhost dan Gemas Lestari. Pertandingan ini dianjurkan dengan hasrat ingin mencungkil bakat pelajar IPTA dan IPTS di Malaysia yang telah berlangsung pada 5 dan 6 Mac 2024. UiTM Cyberheroes Club (UCC) telah menghantar 6 pasukan mewakili UiTM Shah Alam dalam pertandingan ini. Acara peringat saringan tersebut berlangsung selama 24 jam secara atas talian yang melibatkan 158 pasukan dari IPTA dan IPTS dimana 4 pasukan dari UiTM Shah Alam iaitu dari kumpulan CH1P1CH4P4, S4MB4L, R3BUNG dan S4NT41 telah melayakkan diri ke pusingan akhir pertandingan tersebut pada 9 Mac 2024.

Pertandingan kali ini merangkumi soalan sekitar pengetahuan peserta dalam Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA), Digital Forensics and Incident Response (DFIR) dan Internet of Things (IoT). Cabaran dalam kategori baru turut dimasukkan dalam pertandingan ini iaitu melibatkan physical hacking. Antara skil yang dimasukkan dalam pertandingan ini, pelajar perlu menyediakan laporan untuk aktiviti yang dilakukan sepanjang menyelesaikan cabaran yang diberi. Laporan ini akan disemak dan divalidasi oleh hakim dalam menilai tahap profesionalisme mereka dalam menyelesaikan masalah.