Pada 14 Disember 2023 yang lalu, Pusat Pengajian Kejururawatan Fakulti Sains Kesihatan, UiTM dengan usahasama Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) telah berjaya menganjurkan The World Sepsis Day 2023 dengan tema “Stop Sepsis Saves Lives”. Perasmian program disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor. Program ini telah mendapat tajaan oleh Malaysian Society of Intensive Care (MSIC).
Tujuan projek ini dilakukan adalah untuk meningkatkan kesedaran berkaitan sepsis di seluruh dunia. Terdapat beberapa acara yang telah dijalankan bagi meraikan “World Sepsis Day” seperti aktiviti sukan, pameran foto, aktiviti perkelahan, acara gala, makan malam, acara awam seperti rumah terbuka di hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan dan sudah tentu acara dalam talian seperti ”2nd World Sepsis Congress’ dan kempen di Twitter, Instagram dan Facebook serta banyak lagi rangkaian sosial. Kempen seumpama ini adalah penting untuk dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai dan juga penjaga kesihatan (healthcare providers).
Seramai 5 kumpulan sasaran yang disasarkan seperti kakitangan Fakulti Sains Kesihatan, Staf Hospital Al-Sultan Abdulah (HASA) seperti doktor, jururawat, pakar fisioterapi, kanak-kanak tadika bersama ibu bapa dan guru pengiring, pesakit yang pernah dijangkiti sepsis dan juga kakitangan kesihatan sama ada dari hospital atau klinik kesihatan. Selain itu, kumpulan sasaran kami juga melibatkan pelajar kejururawatan serta pensyarah dari sektor awam mahupun swasta. Sesi ceramah pertama disampaikan oleh Dr Asmah Azizeh dengan tajuk “What is Sepsis” dan diikuti dengan penceramah kedua yang disampaikan oleh Puan Nor Reza Ariffin dengan tajuknya “Nursing Care for Sepsis Patient”. Banyak ilmu dan info-info terkini berkaitan dengan jangkitan semasa yang dibawakan dalam sesi ceramah yang disampaikan.
Kesimpulannya, program yang mendapat sambutan seramai 300 orang peserta ini dijalankan bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang sepsis, kemahiran tentang penjagaan pesakit selepas sembuh, serta memberi pendedahan kepada orang ramai bagaimana mencegah jangkitan kuman. UiTM merakamkan sejuta ucapan terima kasih atas komitmen cemerlang ini dalam menjadikan projek ini terlaksana untuk masyarakat sejagat dan kerjasama selanjutnya dialu-alukan untuk projek-projek seperti ini lagi pada masa depan.