UiTM Mencetuskan Kreativiti dan Imaginasi Anak Cilik Melalui Program “Cinta Kanak-Kanak”

Shah Alam, 13 Disember 2023 – Universiti Teknologi MARA (Shah Alam) melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) telah berjaya menganjurkan Program Penerokaan Maklumat Digital bertemakan “Cinta Kanak-Kanak”. Berlangsung di Sekolah Kebangsaan Padang Jawa, program berteraskan pengembangan kanak-kanak itu adalah sebahagian dari inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Program “Cinta Kanak-Kanak” direka khas untuk kanak-kanak prasekolah bagi meningkatkan perkembangan fizikal dan psikomotor serta membina minat mereka dalam pelbagai bentuk aktiviti interaktif. Dibimbing oleh 35 mahasiswa dari Pusat Pengajian Sains Maklumat di bawah kursus Pustakawan Kanak-kanak (IML606), program ini disertai dengan penuh semangat oleh 50 orang murid prasekolah dan dibantu oleh 4 orang guru prasekolah – Pn. Azizah Binti Hamid, En. Muhammad Raffaie Bin Mohd Mumtaz, Pn. Norliza Binti Zainal Abidin, dan Pn. Nuraini Binti Jamaludin. En. Iskandar Ishak, penyelaras Prasekolah Sekolah Kebangsaan Padang Jawa turut hadir dan telah merasmikan majlis tersebut.

 

Program seharian itu diisi dengan pelbagai pengisian yang menarik dan menyeronokkan. Ia dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Encik Iskandar Ishak yang mengetengahkan latar belakang serta pencapaian murid-murid prasekolah. Murid prasekolah kemudiannya dijemput untuk meneroka, mencipta dan belajar dengan mewarna Beg Jinjing, membuat DIY iPad, Kad Cetakan Tangan, dan Cetakan Straw. Aktiviti “Solidariti Kanak-Kanak” turut diadakan untuk mengetengahkan Konflik Palestin-Israel dan bagaimana mereka boleh berempati dengan kanak-kanak Palestin.

Menurut Encik Iskandar Ishak, program “Cinta Kanak-Kanak” menawarkan peluang kepada kanak-kanak prasekolah untuk meningkatkan kreativiti dan mengembangkan lagi kemahiran kognitif mereka. Beliau seterusnya menambah, “Program sebegini merupakan satu langkah positif yang akan memainkan peranan dalam memastikan negara dapat melahirkan modal insan kelas pertama”.

Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.