Taklimat Penerapan Pelajar Pra Diploma ke Program Diploma UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Sesi Mac 2023

TAWAU, 13 APRIL 2023 – Seramai 27 pelajar Pra Diploma Perdagangan bagi Sesi Mac – Ogos 2023 Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) telah mengikuti sesi Taklimat Penerapan Pra Diploma ke Diploma UiTM bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTMCSH Kampus Tawau pada pagi Khamis.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling dan dibantu oleh Encik Sulaiman Halim bertujuan untuk memastikan pelajar mengetahui perkara-perkara penting dalam permohonan penerapan Pra Diploma ke Diploma.

Selain itu, para pelajar telah diterangkan mengenai strategi bijak dalam pemilihan tiga program Diploma agar dapat disesuaikan dengan minat, prestasi akademik dan laluan kerjaya pelajar terbabit.

Seterusnya, pelajar yang telah membeli nombor Pin Bank Simpanan Nasional (BSN) turut dibimbing untuk mengisi borang permohonan secara atas talian.

Pelbagai isu berbangkit termasuk lokasi pilihan program Diploma, langkah persediaan sekiranya ditawarkan program Diploma di luar negeri Sabah dan sesi temu duga juga diberi penjelasan dalam sesi tersebut.

Untuk rekod, pelajar lepasan Pra Diploma Perdagangan mempunyai kelebihan tersendiri kerana mereka boleh membuat pilihan lebih daripada 45 program Diploma yang ditawarkan di UiTM.