MITRANS dan YAMAHA Lancar Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha

SHAH ALAM, 8 April 2023 – Bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DTAC), UiTM Shah Alam, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan kerjasama Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), UiTM dan Malaysia Motorcycle Scooter Dealers Association (MMSDA) telah melancarkan acara tahunan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung yang ke 25/2023. Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose. Menurut YAMAHA, tema yang dipilih pada tahun ini adalah “Kekal Selamat, Terus Bersama” yang memberi maksud tanda terima kasih kepada semua sokongan yang telah diberikan terhadapt kempen tersebut pada sepanjang 25 tahun kempen dijalankan.

Di majlis pelancaran tersebut, ucapan aluan telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Manakala wakil pengurusan kanan universiti yang turut hadir ialah Tuan Haji Muhamad Nizam Bin Noordin, Pendaftar dan Prof. Ir. Ts Dr Haji Mohd Nasir Taib, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS). Rakan kolaborasi yang hadir adalah Dato’ Dr Jim Khor, Pengarah Urusan, Kumpulan Hong Leong Industries Bhd. dan Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA). Sebagai tanda sokongan, beberapa agensi telah turut hadir iaitu Dato’ Khairul Khar bin Yahya, Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor, Ir. Tr. Dr. Muhammad Marizwan, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran (MIROS), dan Superintenden Ramsay anak Embol,Timbalan Ketua Polis, IPD Shah Alam.

Objektif utama kempen ini adalah bagi memperkasakan penunggang motosikal terutamanya di musim perayaan dan mereka yang akan pulang ke kampung halaman pada cuti hari Raya Aidil Fitri yang bakal tiba. Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Bhd (HLI), Dato’ Dr Jim Khor Mun Wei menyatakan bahawa kempen itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di Malaysia. Menurut beliau, Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia telah menurun tahun ke tahun kepada 1.97 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada 2019 daripada 3.4 kematian tertinggi pada 2010. Kematian jalan raya tertinggi dalam tempoh yang sama melibatkan penunggang motosikal sebanyak 59% (Kementerian Pengangkutan Malaysia, 2023).

Di dalam program di DATC itu perkhidmatan pemeriksaan motosikal telah diberikan secara percuma kepada 310 motorsikal pelajar dan juga menawarkan 300 penukaran topi keledar baharu. 100 pelajar lagi telah menghadiri sesi seminar “Safety Talk and Ride” yang memberi pendedahan mengenai kepentingan untuk menyelenggara motosikal, mematuhi had kelajuan, teknik tunggangan selamat, tunggang uji, dan pemeriksaan asas motosikal. Bagi orang awam pula, bermula dari 13 hingga 15 April perkhidmatan percuma di Pusat Kualiti Servis Yamaha (YQS) akan ditawarkan kepada 48 pelanggan terawal.

Secara langsung, kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial syarikat dalam mempromosikan tunggangan selamat. Ia diharapkan akan memberi inspirasi kepada pemain industri lain bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya secara menyeluruh di negara ini. Selain dari UiTM, kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-25 2023 bakal diadakan di lokasi lain iaitu di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor pada 10 April , Universiti Teknologi Petronas, Perak pada 12 April dan di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada 13 April.