Berbuka Puasa Secara Santai Bersama Pelajar Pra Diploma Stem C Dan Sastera UiTM Cawangan Pulau Pinang

PULAU PINANG, 10 April 2023 – Keberkatan berbuka secara berjemaah dimanfaatkan oleh pelajar semester 2 Program Pra Diploma STEM C dan Sastera bersama Koordinator Pra Pendidikan Tinggi (PPT) Puan Suhaiza Hasan berlangsung secara santai dan sederhana. Idea untuk berbuka secara santai ini telah memilih lokasi bersebelahan Pusat Islam dan berbumbungkan langit. Ia adalah idea pelajar yang kini semakin menjadi trend healing mereka di waktu petang.

Berbuka puasa berbumbungkan langit menjadi satu pengalaman yang unik dan cukup istimewa apatah lagi aktiviti ini dijalankan secara berjemaah dan berkongsi juadah iftar. Berbuka puasa sebegini memberi kita satu peluang untuk merasai keindahan ciptaan Allah SWT sambil menikmati hidangan yang disediakan.

Pada semester Mac 2023, seramai dua puluh (20) pelajar meneruskan pengajian dalam program baharu ini yang mula ditawarkan pada semester lepas di UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program Pra Diploma Sains STEM C dan Sastera ini adalah satu peluang yang terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bukan dari aliran sains tetapi ingin menceburi atau melanjutkan pengajian di peringkat universiti dalam bidang sains dan teknologi yang merupakan program peringkat pra diploma.

Program ini menawarkan pelajar dengan pelbagai kemahiran dalam subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta bidang sastera dengan tujuan untuk memperkukuhkan kemahiran pelajar dalam bidang sains dan teknologi serta memberikan asas yang kukuh dalam Bahasa dan sastera untuk memastikan kejayaan mereka di peringkat diploma dan seterusnya. Para pelajar yang mengambil kursus ini akan belajar tentang pelbagai subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi, Matematik dan Bahasa Inggeris. Semua pelajar berasa gembira dan semoga ia menjadi salah satu kenangan mereka setelah tamat pengajian pra diploma di kampus Permatang pauh.