Taklimat Motivasi Dan Penerapan Kepada Pelajar Pra Diploma UiTM Cawangan Negeri Sembilan Oleh Pengarah, Pejabat Program Pra Pendidikan Tinggi

Pada 21 Oktober 2022 yang lalu, para pelajar Pra Diploma di UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah telah menerima kunjungan dari Pengarah, Pejabat Pra Pendidikan Tinggi (PPT), PM. Ts. Dr Aini Jaapar. Tujuan kunjungan Yang Berusaha PM. Ts. Dr Aini Jaapar adalah bagi menyampaikan Taklimat Motivasi dan Penerapan ke program Diploma kepada semua pelajar Pra Diploma sesi Oktober 2022-Febuari 2023.

Seramai 172 orang pelajar terlibat dalam sesi taklimat secara bersemuka bersama Pengarah PPT, yang berlangsung selama 3 jam di Dewan Utama (LT200) Kampus Kuala Pilah. Sesi ini juga turut disertai bersama oleh Koordinator PPT, Puan Siti Noriah Mohd Shotor serta Penasihat Akademik pelajar iaitu PM. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Izaddin, ChM. Nurul ‘Ain Jamion dan Dr Muadz Ahmad Mazian.

Objektif utama program motivasi ini adalah bagi meningkatkan keyakinan diri dan pemahaman mengenai betapa pentingnya pendidikan demi masa dan tanggungjawab mereka sebagai pelajar di universiti untuk menamatkan pengajian pra diploma. Manakala taklimat penerapan pula adalah memberi pendedahan dan kaedah kepada pelajar dalam memilih program-program yang bersesuaian mengikut minat dan keputusan akademik mereka.

Kesemua pelajar memberikan komitmen yang baik sepanjang program dan dilihat gembira berinteraksi bersama dengan Pengarah PPT sepanjang program berlangsung.