Pameran Deria 2022

MELAKA, 20 Oktober 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bersama Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM) telah menganjurkan pameran seni “DERIA 2022” dirasmikan oleh YBhg. Datuk Seri Norazlan b. Mohd Razali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertempat di Balai Seni Melaka hari ini.

Pameran DERIA 2022 ini telah berjaya menghimpunkan 63 buah karya seni hasil kreativiti daripada barisan Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Melaka dengan tema ”Masyarakat dan Anti Rasuah”.

Pameran ini bermula dari 6 Oktober 2022 hingga 13 November 2022; bagi menyampaikan mesej anti rasuah kepada masyarakat melalui cara kreatif iaitu melalui karya seni. Setiap hasil seni yang dihasilkan memberikan fokus untuk mendidik dan memberikan kesedaran kepada masyarakat dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesan dan keburukan amalan rasuah.

Noazlan berharap penyampaian mesej antirasuah melalui aktiviti penghasilan karya seni dan pameran ini sebagai salah satu usaha bagi memberi kesedaran memerangi rasuah dengan lebih berkesan bertepatan dengan pelaksanaan strategi pendidikan berkenaan rasuah melalui Seksyen 7(g) Akta SPRM 2009 iaitu mendidik orang ramai menentang rasuah dan Seksyen 7(f) Akta SPRM 2009 iaitu mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah.

Sementara itu, Professor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor berkata, UiTM amat berbesar hati dapat bersama-sama melaksanakan strategi dalam menyemai nilai integriti dan antirasuah melalui pameran pendidikan seperti ini.

#uitmdihatiku
#keluargaUiTM
#sinergitrust
#sinergibersama
#uitmcmoktober2022